Buku ini merupakan kompilasi beberapa kajian kes yang telah dijalankan terhadap khazanah warisan Negara yang telah mengaplikasikan pelbagai teknik konservasi. Pendokumentasi kajian kes ini dapat menjelaskan mengenai penggunaan teknik konservasi yang bersesuaian terhadap penjagaan artifak mengikut tahap kerosakan. Pelbagai bahan dan teknik digunakan bagi membantu menyelamatkan dan memanjangkan jangka hayat sesebuah artifak. Penerbitan buku ini bersesuaian dengan bahan rujukan dan panduan kepada konservator, pelajar IPT, profesional muzium dan individu-individu yang cuba memahami dan mendalami teknik yang bersesuaian semasa menjalankan proses konservasi. Penggunaan gaya bahasa yang santai memudahkan para pembaca memahami maklumat yang disampaikan.
Buku ini adalah sebuah buku mengenai konservasi artifak meriam sejarah. Penerbitan buku ini merupakan usaha murni Jabatan Muzium Malaysia dengan Agensi Nukleur Malaysia bagi menyebarkan pengetahuan berkaitan asas konservasi artifak. Penulisan buku Konservasi Artifak Meriam Sejarah –Kaedah Saintifik adalah bertepatan dengan kehendak dan keperluan semasa yang memerlukan garis panduan dalam melaksanakan kerja-kerja konservasi artifak. Konservasi artifak meriam bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan. Kebanyakkan meriam yang berada dipersekitaran luar seperti di kota-kota pertahanan bersejarah dikenal pasti telah mengalami proses kakisan yang memerlukan perhatian segera. Proses konservasi yang berpandukan prosedur yang betul dan dapat menjamin artifak ini selamat dan berkekalan untuk tempoh yang lebih lama. Buku ini sesuai untuk para penyelidik yang ingin mengetahui cara-cara untuk menstrukstur semula meriam-meriam sejarah yang terdapat di Negara kita. Buku ini diterbitkan dalam bahasa melayu sahaja.
Buku ini adalah Katalog Pameran yang diadakan di Muzium Negara iaitu Pameran Magis Belantara Herba Orang Asli yang diadakan di Muzium Negara pada 15 November hingga 31 Disember 2009. Masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia yang merupakan antara minoriti di Negara ini terdiri daripada lapan belas suku kaum yang berdasarkan tiga kumpulan utama iaitu Senoi, Nagrito dan Proto Melayu. Secara khususnya mereka mendiami kawasan-kawasan pedalaman, pinggir-pinggir hutan dan sebahagiannya di pinggir perkampungan melayu. Keadaan dalam persekitaran yang dikelilingi tumbuhan tropika membolehkan masyarakat ini mengenali dan memahami tumbuh-tumbuhan semulajadi untuk dijadikan sebagai keperluan hidup mereka. Penggunaan herba sebagai alternatif perubatan masa kini semakin mendapat perhatian masyarakat dan herba-herba yang digunakan adalah diperkenalkan oleh masyarakat orang asli yang terkenal dengan tumbuhan atau herba sebagai penawar kepada pelbagai penyakit. Buku ini akan membantu kepada sesiapa pun untuk mengenali pelbagai jenis herba dan peralatan untuk membuat herba yang di amalkan oleh orang asli di Negara kita untuk perubatan tradisional.