Direktori Muzium- muzium Jabatan Muzium Malaysia merupakan sumber maklumat tentang 21 buah muzium Persekutuan yang dirangkum dan didokumentasikan dalam sebuah buku.Penerbitan buku ini juga adalah antara usaha dan strategi Jabatan Muzium Malaysia untuk memperkenalkan dan mempromosikan muzium- muzium di bawah seliaan. Direktori ini dapat menjadi rujukan dan panduan ringkas tentang muzium- muzium di bawah Jabatan Muzium Malaysia. Direktori ini juga mengadaptasi pepatah tak kenal maka tak cinta dalam konteks mempromosikan khazanah budaya dan warisan sejarah. Melalui penerbitan direktori ini ambillah peluang untuk menghayati serta meneroka warisan sejarah, budaya serta alam semula jadi yang dapat memberi pengalaman dengan kepelbagaian dan keunikan bahan pameran yang dipamerkan.
Buku Keranda : Tradisi dan Misteri Ini merupakan sebuah penerbitan yang memuatkan koleksi keranda yang dipamerkan semasa pameran Keranda : Tradisi dan Misteri yang diadakan di Muzium Negara sepanjang bulan April hingga Ogos 2010. Buku ini juga mengupas pengertian keranda dan kegunaannya dalam sesebuah masyarakat termasuk Melayu, Cina, India, beberapa etnik peribumi Sabah dan Sarawak, Orang Asli serta masyarakat lain di Nusantara. Melalui buku ini pembaca dapat melihat pelbagai jenis keranda dan motif yang lazim digunakan pada keranda serta menyelami falsafah penggunaan keranda itu sendiri. Selain itu, buku ini mengetengahkan kaedah pengebumian dalam masyarakat yang berkembang secara beransur-ansur dari masyarakat awal hingga menjadi masyarakat yang moden masa kini. Buku ini terdapat dalam dwi bahasa iaitu dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.
Penerbitan buku ini adalah mengandungi kompilasi kertas kerja yang terpilih iaitu sesi pembentangan Forum Kurator dari tahun 2003-2007. Ia bertujuan mengetengahkan aspek pennyelidikan berkenaan bidang permuziuman yang merangkumi bidang sejarah dan kebudayaan negara. Wacana Kurator ini juga bertujuan memperkenalkan hasil kajian daripada kurator yang terlibat dengan aktiviti permuziuman samada secara langsung serta tidak langsung. Sebahagiannya masih meneruskan penglibatan dengan Jabatan Muzium Malaysia, namun terdapat juga kurator yang telah meninggalkan muzium untuk terlibat dalam pengembangan profesionalisme masing-masing. Namun begitu, hasil kajian mereka masih menjadi wadah kepada penghayatan ilmu dan pembentukan budaya ilmu yang menjadi teras institusi permuziuman negara. Buku ini bersesuaian untuk para penyelidik, para pelajar serta individu perseorangan yang berminat dengan kajian yang telah dijalankan.