• Colour
  • | Text size
Sistem Perpustakaan VTLS
Sistem Pengurusan Aset JMM
Sistem Foto JMM
SPOT-ME

Derma Koleksi

You are here

You are here

Poster Derma Koleksi

 

Terima kasih di atas insiatif anda untuk menderma koleksi peribadi kepada Jabatan Muzium Malaysia. Jabatan Muzium Malaysia amat mengalu-alukan derma koleksi yang mempunyai nilai-nilai seni, sejarah, dan warisan negara yang pastinya akan memberi manfaat kepada muzium, masyarakat dan negara.

 

BAGAIMANAKAH CARA UNTUK MENDERMA KOLEKSI?

Anda hanya perlu melengkapkan borang permohonan menderma koleksi yang boleh dimuat turun di laman ini atau di laman http://www.jmm.gov.my. Sertakan deskripsi koleksi, dan minima dua (2) keping gambar yang jelas dan berwarna bagi setiap koleksi. Emailkan ke koleksi@jmm.gov.my atau dipos ke alamat:

 

Ketua Pengarah

Jabatan Muzium Malaysia

Jalan Damansara

50566 KUALA LUMPUR

(u.p : Pengarah Bahagian Pengurusan Koleksi )

 

Kami hanya menerima borang permohonan daripada anda. Anda akan dihubungi untuk urusan penghantaran koleksi sekiranya permohonan anda berjaya.

Sekali lagi, terima kasih di atas keprihatinan anda untuk bersama Jabatan Muzium Malaysia melindungi dan memartabat warisan negara.

 

SYARAT-SYARAT DERMA KOLEKSI

JABATAN MUZIUM MALAYSIA

 

Perolehan apa-apa koleksi oleh Jabatan Muzium Malaysia (JMM) haruslah sejajar dengan misi dan polisi perolehan jabatan, ketersediaan ruang simpanan, keperluan untuk pemuliharaan, serta manfaat kepada muzium , masyarakat dan negara.  Justeru, setiap permohonan akan dinilai oleh Jawatankuasa Penilaian Koleksi, JMM dan hanya permohonan yang berjaya akan dihubungi oleh Urusetia Derma Koleksi.

Permohonan derma koleksi kepada Jabatan Muzium Malaysia haruslah menetapi syarat-syarat yang berikut:

  1. Pemohon hendaklah berusia 18 tahun ke atas

  2. Koleksi adalah milik pemohon yang sah dan bukan dari status pemilikan yang diragui, serta bebas dari sekatan hak cipta

  3. Borang permohonan hendaklah lengkap diisi, dengan deskripsi koleksi yang jelas dan disertakan dengan dua (2) keping koleksi yang jelas dan berwarna

  4. Koleksi adalah artifak yang mempunyai signifikan dan nilai dari segi sejarah, seni, budaya dan spesimen alam semula jadi negara (Rujuk Klasifikasi Koleksi).

  5. Koleksi adalah dalam keadaan baik bagi membolehkannya dikendalikan bagi tujuan aktiviti-aktiviti permuziuman.

  6. Permohonan derma koleksi yang tidak tersenarai di bawah Klasifikasi Koleksi atau koleksi dari bahan berbahaya akan secara automatiknya terbatal.

  7. Koleksi yang telah diserahkan kepada JMM adalah hak mutlak Kerajaan dan tidak boleh dikembalikan kepada pemohon.

  8. JMM berhak menggunakan koleksi bagi apa-apa tujuan permuziuman

  9. JMM berhak untuk menolak permohonan penderma sekiranya maklumat yang dikemukakan adalah tidak benar atau mempunyai impak negatif sekiranya Jabatan memiliki koleksi ini.

  10. Koleksi hanya boleh diserahkan untuk simpanan JMM selepas penderma mendapat surat tawaran rasmi daripada Jabatan. Segala kos pengambilan dan penghantaran koleksi adalah ditanggung sepenuhnya oleh penderma.

  11. Tempoh sah laku permohonan adalah selama satu tahun daripada tarikh permohonan diterima pihak Jabatan. Sekiranya pemohon tidak menerima maklum balas daripada urus setia selepas tempoh satu tahun permohonan tersebut dikemukakan, maka pemohonan adalah dianggap tidak berjaya.

 

FAEDAH-FAEDAH DERMA KOLEKSI

JABATAN MUZIUM MALAYSIA

 

  1. Penderma akan menerima sijil dan surat penghargaan sebagai menghargai sumbangan kepada bangsa dan negara.

  2. Nama penderma akan tertera pada kapsyen pameran, setiap kali koleksi dipamerkan di Jabatan Muzium Malaysia.

  3. Inisiatif pengecualian cukai - Akta Cukai Pendapatan di bawah Subseksyen 44(6A) – Hadiah artifak, manuskrip atau lukisan.

  4. Koleksi penderma kekal terpelihara menjadi sebahagian daripada Khazanah Warisan Negara.

 

SOALAN LAZIM KEMPEN DERMA KOLEKSI 

FREQUENTLY ASKED QUESTIONS (FAQ)

JABATAN MUZIUM MALAYSIA (JMM)

 

PENGENALAN KEMPEN DERMA KOLEKSI

S1. Apakah dia Kempen Derma Koleksi?

Kempen Derma Koleksi adalah program promosi di bawah Jabatan Muzium Malaysia (JMM) bertujuan bagi melindungi dan melestari khazanah warisan negara melalui sumbangan koleksi peribadi masyarakat yang bernilai dari sudut sejarah, seni, budaya dan alam semula jadi kepada JMM.

S2. Siapa yang layak menderma koleksi?

Individu yang berusia 18 tahun ke atas, sama ada yang bermaustautin di Malaysia atau di luar negara dan merupakan pemilik yang sah kepada koleksi yang ingin didermakan.

 

JENIS-JENIS KOLEKSI

S3. Apakah jenis koleksi yang boleh didermakan?

Koleksi yang boleh didermakan adalah seperti koleksi kemerdekaan, tekstil, perhiasan diri, senjata, permainan tradisional, hasil kraftangan, alat pertukangan dan perusahaan, serta koleksi alam semula jadi. (Sila rujuk 4. Klasifikasi Koleksi).

S4. Apakah saya boleh menderma koleksi yang diperolehi secara jumpaan (Contoh: jumpaan syiling lama di premis persendirian?)

Tidak. Sebarang jumpaan perlu dilaporkan kepada Jabatan Warisan Negara.

S5. Apakah koleksi yang tidak boleh didermakan kepada JMM?

Koleksi yang tidak termasuk dalam Klasifikasi Koleksi, jumpaan, harta rampasan/pensitaan, bahan letupan, bahan berbahaya dan koleksi yang bukan milik sah penderma.

 

TATACARA DERMA KOLEKSI

S6. Bagaimanakah cara untuk menderma koleksi kepada Jabatan Muzium Malaysia?

Anda perlu melengkapkan borang permohonan menderma koleksi yang boleh dimuat turun www.jmm.gov.my. Sertakan dengan minima dua (2) keping gambar yang jelas dan berwarna bagi setiap koleksi, dan emailkan ke koleksi@jmm.gov.my atau dipos ke alamat seperti di borang permohonan.

S7. Apakah syarat-syarat untuk menderma koleksi?

(Sila Rujuk Pautan Syarat-syarat Derma Koleksi di laman utama Kempen Derma Koleksi).

S8. Adakah saya boleh mengirim atau  menghantar terus koleksi kepada JMM?

Tidak. JMM hanya menerima borang permohonan sahaja. Ini kerana penilaian dan tapisan harus dilaksanakan bagi menentukan keaslian dan kepentingan koleksi pada muzium, bangsa dan negara.

 

PENILAIAN KOLEKSI 

S9. Bagaimanakah koleksi saya dinilai?

Jawatankuasa Penilai JMM akan menilai koleksi anda dari sudut kepentingannya kepada sejarah,seni, budaya, warisan atau alam semulajadi negara. Penilaian juga mengambil kira kondisi koleksi, jumlah sedia ada di setor penyimpanan koleksi dan manfaatnya kepada muzium. 

S10. Adakah JMM menawarkan perkhidmatan penilaian harga pada koleksi yang didermakan?

Tidak. JMM tidak menawarkan perkhidmatan ini kecuali sekiranya ada permohonan untuk pengesahan nilai koleksi bagi tujuan inisiatif pengecualian cukai oleh pemohon.

S11. Adakah JMM menawarkan perkhidmatan penilaian ketulenan/komposisi bahan pada koleksi yang didermakan?

Tidak. JMM tidak menawarkan perkhidmatan ini.

 

KELULUSAN DERMA KOLEKSI

S12. Berapa lama saya dapat mengetahui samaada permohonan derma koleksi diluluskan?

Lazimnya proses permohonan dan penilaian mengambil masa tiga ke enam bulan sebelum keputusan permohonan dimaklumkan kepada penderma.

S13. Bagaimana saya ingin mengetahui samaada permohonan saya berjaya atau tidak?

Pihak JMM akan menghubungi anda sekiranya permohonan anda berjaya.

S14. Adakah semua koleksi yang didermakan akan diterima oleh JMM?

Tidak, Ini kerana penilaian dan tapisan harus dilaksanakan bagi menentukan kondisi dan jumlah sedia ada koleksi di setor penyimpanan koleksi, serta bagi memastikan keaslian dan kepentingan koleksi pada muzium, bangsa dan negara.

 

PENGHANTARAN KOLEKSI (SELEPAS KELULUSAN)

S15. Adakah saya boleh terus menghantar koleksi yang ingin didermakan ke JMM?

Tidak, pihak JMM akan menghubungi anda sekiranya permohonan anda berjaya.

S16. Kos penghantaran koleksi adalah di bawah tanggungan siapa?

Kos penghantaran koleksi adalah di bawah tanggungan penderma.

 

FAEDAH DERMA KOLEKSI 

S17. Apakah faedah yang saya perolehi bagi koleksi yang didermakan kepada JMM?

Antara faedah-faedah yang diperolehi adalah sijil/surat penghargaan dari JMM dan inisiatif pengecualian cukai sekiranya dipohon. (Sila rujuk pautan Faedah Derma Koleksi).

S18. Adakah inisiatif pengecualian cukai akan diberi secara automatik kepada penderma koleksi?

Tidak. Inisiatif pengecualian cukai harus dipohon oleh penderma.

S19. Apakah dia inisiatif pengecualian cukai?

Inisiatif pengecualian cukai adalah surat pengesahan nilai koleksi yang dimohon penderma sebagai dokumen sokongan bagi tuntutan Akta Cukai Pendapatan di bawah Subseksyen 44(6A) – Hadiah artifak, manuskrip atau lukisan.

 

LAIN-LAIN

S20. Adakah saya atau waris boleh menuntut semula koleksi selepas diserahkan kepada JMM?

Tidak. Koleksi yang telah diserahkan kepada JMM akan menjadi hak milik mutlak Kerajaan dan tidak boleh diserahkan semula kepada penderma.

S21. Adakah koleksi saya akan pasti dipamerkan di galeri pameran muzium?

Jabatan Muzium Malaysia tidak boleh menjamin koleksi penderma akan di pamerkan di galeri muzium. Ini kerana hanya sebilangan kecil sahaja koleksi yang dipamerkan di muzium dan selebihnya disimpan secara selamat di repositori artifak. Keperluan untuk mempamerkan koleksi penderma adalah bergantung kepada tema pameran dan kesesuaian koleksi bagi pameran tersebut. Bagaimanapun, koleksi penderma akan kekal terpelihara di muzium sebagai khazanah warisan negara yang berharga di masa kini dan akan datang.

 

 

KLASIFIKASI KOLEKSI

JABATAN MUZIUM MALAYSIA

 

Jabatan Muzium Malaysia mengalu-alukan usaha untuk menderma koleksi peribadi yang autentik dan mempunyai signifikan dari segi sejarah, seni, budaya dan alam semula jadi negara.

  • Pakaian dan Tekstil
  • Perhiasan Diri
  • Kolesi Kemerdekaan(Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak)
  • Set Tepak Sireh 
  • Koleksi Perkahwinan
  • Koleksi Perayaan
  • Alat Muzik
  • Senjata
  • Topeng
  • Wayang Kulit
  • Matawang
  • Setem
  • Alat Permainan
  • Kraftangan
  • Mementos (Cenderahati)
  • Tembikar/Seramik
  • Spesimen Alam Semulajadi
  • Perkakas Rumah
  • Piala
   

 

 

Last update: 27 March 2024 - 10:06am

Developed and designed by Hadafi Solution and Resources