• Warna
  • | Saiz teks
Sistem Perpustakaan VTLS
Sistem Pengurusan Aset JMM
Sistem Foto JMM
SPOT-ME

Ucapan Perasmian Hari Muzium Antarabangsa 2008

Anda di sini
Assalamualaikum wht dan selamat pagi.

Yang Berhormat Saudara Teng Boon Soon Timbalan Menteri Perpaduan, Kebudayaan Kesenian Dan Warisan

Yang Berbahagia Dr. Muzahet Masruri, Ketua Setiausaha Kementerian

Yang Berbahagia Dato’ Mohamed Mohd Daud Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan)

Yang Berbahagia Datuk Nor Azmal Mohd Nazir Timbalan Ketua Setiausaha (Warisan)

Yang Berbahagia Tuan Ibrahim Bin Ismail Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia

Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Hari Muzium

Antarabangsa Kali Ke - Sebelas

Yang Berbahagia Dato’ Dr. Adi Hj. Tahar Yang Dipertua Persatuan Muzium Malaysia

Yang Dihormati Pengerusi - Pengerusi Lembaga Muzium Negeri,

Yang Dihormati Ketua - Ketua Pengarah Jabatan Dan Agensi

Kementerian, yang dihormati pengarah - pengarah muzium negeri, muzium institusi dan muzium jabatan,

Tuan - tuan dan puan - puan sekalian.

Alhamdulillah, pertama sekali marilah kita bersama-samamelafazkan syukur ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan limpahdan kurnianya maka kita dapat berkumpul bersama-sama bagimeraikan sambutan hari muzium antarabangsa di Muzium Negara pada pagi ini.

Sambutan hari muzium antarabangsa di muzium negara pada hari ini sememangnya cukup bermakna. sekiranya kita mengimbausejarah, muzium negara telah dibuka kepada seluruh rakyat malaysia ketika kita meraikan sambutan ulang tahun hari kebangsaan ke-6 pada 31 ogos 1963. Idea penubuhannya bermula apabila Perdana Menteri Pertama,Tunku Abdul Rahman Al-Haj berpendapat selepas mencapai kemerdekaan pada 1957, negara ini perlu mempunyai sebuah muzium nasional yang mempamerkan khazanah sejarah, kebudayaan dan alam semula jadi. ia juga menunjukkan bahawa negara kita juga mempunyai identiti yang tersendiri.

Tuan - tuan dan puan - puan sekalian,

Hari Muzium Antarabangsa yang dirayakan oleh muzium-muzium seluruh dunia pada 18 mei setiap tahun adalah hasil daripada resolusi persidangan majlis muzium antarabangsa ke - 12 pada tahun 1977. pada tahun ini, Jawatankuasa Penasihat Majlis Muzium Antarabangsa (ICOM Advisory Committee) telah

menetapkan bahawa tema perayaan hari muzium antarabangsa adalah “muzium sebagai agen perubahan sosial dan pembangunan”. Tema ini menggariskan kepentingan peranan dan sumbangan muzium terhadap perubahan sosial dan pembangunan masyarakat dan negara sejajar dengan konsep definisi muzium itu sendiri sebagai institusi pendidikan umum yang memberikan perkhidmatan kepada masyarakat dan pembangunan modal insan.

Antara objektif sambutan hari muzium antarabangsa adalah:

1. Memberi kesedaran kepada masyarakat tentang peri -pentingnya peranan muzium dalam kehidupan

2. Sebagai tanda penghargaan kerajaan terhadap sumbangan serta peranan yang dimainkan oleh muzium

3. Menarik minat masyarakat bersama - sama melindungi warisan budaya bangsa yang menjadi kebanggaan kita. Pelbagai acara telah dirancang dan akan dilaksanakan sepanjang berlangsungnya sambutan hari muzium antarabangsa.

aktiviti-aktiviti ini telah dirancang khusus dan selari dengan peranan dan tanggungjawab permuziuman. Program bercorak akademik dan ilmiah seperti seminar dan ceramah yang melibatkan penyertaan pakar atau tokoh permuziuman dari dalam dan luar negeri dilaksanakan bagi meningkatkan pengetahuan serta perkongsian pintar di kalangan warga muzium.

Selain itu juga pameran oleh muzium-muzium negeri akan turut diadakan bagi memberi peluang masyarakat untuk mengenali dengan lebih dekat budaya serta warisan negeri-negeri di Malaysia.

Tuan - tuan dan puan - puan sekalian,

Muzium sering dikaitkan dengan aktiviti - aktiviti seperti :

* pemuliharaan, pameran dan pusat arkib

* pemuliharaan dan pengekalan alam semulajadi

* arkeologi, antropologi, ethnologi, monumen dan tapak tanah bersejarah

* pameran benda hidup seperti taman botani, zoologi, akuarium

* pusat sains, teknologi, botanikal, geologi dan lain - lain lagi.

Apabila kita berbicara tentang muzium, kita tidak dapat lari daripada merujuk tentang betapa pentingnya bahan atau  catatan sejarah yang kita miliki perlu dijaga dan dipelihara dengan rapi. sejarah amat penting kepada kita kerana sejarah adalah bukti kepada setiap peristiwa dan kejadian.

Sesungguhnya sejarah bukan sahaja tanda bukti keunggulan sesuatu tamadun, bangsa dan pencapaian bangsa itu, bahkan sejarah amat penting menentukan jati diri dan kelangsungan kuasa politik sesuatu bangsa dan menjadi pemangkin kepada perubahan sesuatu bangsa. Oleh yang demikian, menyedari akan kepentingan memelihara sejarah dan warisan, hampir kesemua negara di dunia ini mempunyai muzium. Kepesatan pewujudan muzium dapat dilihat di mana terdapat lebih 8 ribu buah muzium di amerika syarikat, 2200 buah muzium di Kanada dan lebih seribu muzium di Negara China. Antara contoh - contoh muzium yang terkenal di dunia adalah seperti :

* National Gallery, The British Museum, The Tate Modern Gallery, The Natural History Museum, Victoria And Albert Museum, London

* The National Museum Of Natural History, Metropolitan Museum Of Art, Amerika

* The Louvre, Paris

* The National Museum, New Delhi

* The Egyptian Museum, Cairo

* The South African Museum, Cape Town

* The Tokugawa Art Museum, Nagoya

Di Malaysia, setakat ini kita mempunyai lebih 150 buah muzium di bawah seliaan jabatan muzium malaysia, kerajaan negeri, persendirian, dan pihak swasta. saya dimaklumkan bahawa menurut statistik pelawat bagi program “Kunjungilah Muzium” pada tahun 2007, terdapat 2,018,058 jumlah pelawat secara

keseluruhan di mana sejumlah 1,403,571 pengunjung adalah pelawat tempatan, 244,310 pelajar tempatan dan 370,177 pelawat luar negara. Bagi program yang sama dalam tempoh Januari hingga Mac 2008, jumlah keseluruhan pelawat setakat ini adalah 452,234 orang.

Tuan - tuan dan puan - puan sekalian,

Secara umum, peranan muzium di Malaysia tertumpu kepada perkembangan dua (2) aspek utama; iaitu pertama, dalam aspek pendidikan dan kedua, dalam aspek pelancongan.

Dalam aspek pendidikan, muzium memaparkan warisan negara dengan cara penyelidikan, pemeliharaan, pemuliharaan dan penyebaran maklumat kepada masyarakat. muzium di negara kita juga berperanan menjadi salah satu pusat pengenalan identiti masyarakat rakyat malaysia berbilang bangsa dan saling memahami adat dan budaya masing - masing. Dalam aspek pelancongan, muzium di Malaysia berperanan menjadi satu destinasi yang menarik dan informatif bagi para pelancong tempatan dan luar negara. Malah, muzium juga menyediakan ruang dan peluang kepada pembabitan pameran dari luar negara sepertimana pameran “heart of deer” dari mexico yang dipamerkan di muzium negara pada tahun 2002. Justeru pada hari ini saya ingin berkongsi pandangan dengan memberikan tiga (3) pendekatan bagi meningkatkan mutu dan kualiti muzium di negara kita.

Pendekatan pertama;

Pengkomersialan muzium malaysia di peringkat antarabangsa. Warga muzium telah dipertanggungjawabkan bagi memajukan industri pemuziuman di malaysia. persoalannya, adakah segala usaha dan langkah yang dilaksanakan sebelum ini telah berjaya menaikkan taraf muzium di peringkat antarabangsa? Oleh yang demikian, saya menyeru kepada warga muzium untuk

membina identiti dan imej baru yang lebih mantap agar muzium di negara kita menjadi pusat sumber maklumat yang unggul di persada dunia dan muzium di negara kita dijadikan sebagai pilihan utama bagi mengenali dan mendalami kepelbagaian budaya di malaysia.

Justeru saya menyeru kepada pihak pengurusan muzium agar :

1. Melaksanakan analisis mengkaji prestasi pengurusan muzium dengan menggunakan teknik s.w.o.t (strengths, weaknesses, opportunities, threats)

2. Memperluaskan hubungan dan rangkaian dengan institusi muzium yang terkenal di dunia bagi pertukaran eksibit dan pameran,

3. Memperkukuh pelaksanaan perhubungan awam (public relations) dengan menggunakan internet dan meningkatkan kerjasama dengan pihak media cetak dan elektronik tempatan dan antarabangsa.

4. Berusaha memperoleh pengiktirafan ‘iso’ agar kita dapat menggunakan teknik - teknik pengurusan bermutu tinggi yang boleh meletakkan malaysia setanding dengan muzium bertaraf dunia.

Kita perlu memperhebat strategi pengkomersialan muzium Malaysia di peringkat antarabangsa kerana sekiranya kita mengambil contoh di luar negara, muzium terbukti mampu menjadi pusat pelancongan yang cukup dikenali dan sumber pendapatan kepada negara. Saya berpendapat kita perlu meningkatkan jumlah pengunjung, memperoleh lebih banyak tajaan daripada badan korporat dan mencari jalan untuk mencari dana tambahan bagi menambah sumber pendapatan muzium.

Pendekatan kedua;

Mendekati generasi muda.

Tanggapan sesetengah golongan muda bahawa muzium hanyalah tempat simpanan barang antik dan tidak berbaloi untuk dikunjungi adalah satu cabaran kepada warga muzium. Cabaran ini menuntut warga muzium untuk berfikiran lebih kreatif dan inovatif bagi mendapatkan idea dan mencari langkah - langkah bagaimana untuk mendekati golongan muda. Saya berpendapat bahawa sebagai strategi permulaan, kita perlu memperbanyakkan pameran berbentuk ‘edutainment’ , ‘infotainment’ , interaktif dan 3-d. teknik ini telah terbukti berjaya memenuhi selera serta menawan hati kanak - kanak dan remaja di luar negara kerana mereka telah disajikan dengan bentuk pameran yang cukup menghiburkan. Kedua, saya berpandangan kita perlu meningkatkan pembabitan

golongan pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta sebagai sukarelawan (volunteers) dan pelatih industri (practical trainees). sebagai contoh, saya difahamkan jumlah pelatih industri di jabatan muzium malaysia dalam tempoh 2007 adalah seramai 16 orang. sekiranya diteliti, jumlah ini sebenarnya adalah sedikit dan sekiranya dibiarkan berterusan, kita bakal menghadapi masalah kekurangan pakar dalam disiplin pemuziuman pada masa akan datang. sekiranya ketiadaan insentif atau elaun adalah punca berlakunya kekurangan pembabitan para pelajar, maka saya mencadangkan kepada pihak pengurusan muzium untuk membuat kajian dan penilaian pemberian elaun bulanan kepada para pelatih industri. saya berharap kajian ini dapat dilaksanakan dengan kadar yang segera. Ini kerana pembabitan aktif daripada para pelajar dalam bidang pemuziuman amat penting dalam usaha kita melahirkan lebih ramai ahli sejarah dan kurator pada masa akan datang.

Pendekatan ketiga;

Memperbaiki kandungan pameran dan laman web.

Muzium merupakan sebuah pusat sumber informasi. sekiranya kita melawat muzium - muzium di luar negara, kita dapat melihat artifak atau gambar yang dipamerkan mempunyai penjelasan

yang cukup terperinci. Contoh pertama yang saya ingin berikan adalah daripada aspek kapsyen. kapsyen merupakan satu sumber penting untuk memberi

informasi bagi sesebuah pameran. kapsyen yang boleh dijadikan contoh adalah seperti kapsyen di Muzium Guggenheim, Amerika

dan Muzium Hermitage, St.Petersburg, Rusia.

Ada kalanya kapsyen yang disediakan sukar difahami oleh pengunjung dan tidak menggunakan pendekatan secara “naturalistic”. oleh yang demikian, saya berpendapat dalam aspek ini, para kurator perlu memainkan peranan dengan lebih efektif dan efisyen. Kapsyen perlu mengambil kira pengetahuan dan pengalaman pengunjung dan kita perlu menyediakan kapsyen yang terbaik supaya maklumat yang ingin disampaikan dapat difahami dan

dimanfaatkan dengan lebih baik. selain daripada kapsyen, kini orang ramai juga berminat membuat rujukan mengunakan internet. Oleh yang demikian saya ingin menyentuh sedikit tentang laman web atau ‘homepage’ Jabatan Muzium Malaysia iaitu www. jmm.gov.my. Ketika saya melayari laman web jmm, saya mendapati laman web ini menggunakan teknik I.T. yang baik seperti flash dan maklumat mengenai jabatan ini sentiasa diperkemaskan dari

semasa ke semasa. Sehubungan itu bagi mempertingkatkan kompetensi ‘homepage’ Jabatan Muzium Malaysia ini, saya ingin mencadangkan satu idea iaitu mewujudkan satu lagi pautan/link baru iaitu “muzium maya” di dalam ‘homepage’ jmm. Pautan atau link muzium maya ini boleh berfungsi sebagai “one

stop centre” dan menjadi pusat sumber maklumat dan rujukan terus yang diambil daripada kapsyen, buku, jurnal, majalah, ensiklopedia dan segala pameran yang dibuat di seluruh 150 buah muzium di malaysia dan ia boleh menyediakan pautan atau “external links” dengan laman - laman web muzium - muzium di

seluruh dunia dan pautan kepada laman web antarabangsa yang diiktiraf seperti :

* www.molli.org.uk

* www.museumnews.net

* www.museumstuff.com

Tuan - tuan dan puan - puan sekalian,

Akhir kata, muzium berfungsi sebagai sebuah institusi pendidikan dan ilmu yang mengandungi maklumat serta pengetahuan berharga. sehubungan itu, mereka yang mencintai ilmu pasti gemar terhadap muzium, seperti mana seseorang itu suka membaca buku. muzium yang baik adalah seperti sebuah

buku yang berkualiti. ia memperkayakan penggunanya, dari segi ilmu pengetahuan dan hati budi seseorang insan.

Bersempena Sambutan Hari Muzium Antarabangsa 2008, adalah diharapkan semua pihak dapat bersatu tenaga dan berfikiran terbuka bagi mendokong tanggungjawab yang diamanahkan agar kebudayaan dan sejarah negara dapat terus dipertahankan sebagai satu identiti negara dan bangsa Malaysia. saya ingin mengambil kesempatan ini merakamkan setinggi- tinggi penghargaan kepada Jawatankuasa Sambutan Hari Muzium Antarabangsa 2008 peringkat kebangsaan serta semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung kerana bertungkus lumus dalam menjayakan program Sambutan Hari Muzium Antarabangsa peringkat kebangsaan 2008 ini.

Dengan kalimah ‘bismillahirrahmanirrahim’, saya dengan ini merasmikan Sambutan Hari Muzium Antarabangsa 2008, peringkat kebangsaan kali kesebelas.

Sekian.

Sumber: Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian Dan Warisan Malaysia

Undefined

Kemas kini terakhir: 26 April 2024 - 11:48am

Developed and designed by Hadafi Solution and Resources