Ini adalah karya penerbitan berbentuk popular yang dihasilkan sempena dengan penganjuran Pameran Ikon Fesyen Retro: Saloma yang telah berlangsung sejak 8 Ogos 2017 yang lalu sehinggalah berakhir pada tarikh ulangtahun perkahwinan beliau dan suami tercintanya P.Ramlee pada hari ini iaitu tanggal 31 Oktober 2017, setelah tiga bulan ‘menemui’ peminatnya di Galeri 2, Jabatan Muzium Malaysia.
Buku kecil ini merupakan pendokumentasian hasil penyelidikan yang telah dilaksanakan oleh para pegawai dan staf Muzium Tekstil Negara ke atas 65 koleksi terpilih busana Biduanita Pertama Negara, Allahyarhamah Puan Sri Datin Amar Salmah binti Ismail atau lebih dikenali sebagai SALOMA yang tersimpan rapi di Arkib Negara Malaysia sejak daripada pemergian beliau pada 25 April 1983. Yang pasti, penerbitan buku ini bukan menjurus kepada fesyen, bukan jua mengkhusus kepada sejarah pembuatan pakaiannya, mahupun penggunaannya di dalam filem-filem ataupun pentas-pentas persembahan secara total.
Kebanggaan Jabatan Muzium Malaysia melalui naskhah penerbitan ini bukan sahaja tertumpu kepada busana asli milik si pemakainya, tetapi aspek pemeliharaan dan pemuliharaan yang diterjemahkan menerusi teknik peragaannya. Teknik yang fleksibel, lembut, sesuai dan tidak memudaratkan koleksi tekstil ini berjaya menempatkan Jabatan ini sebagai institusi permuziuman yang pertama khususnya di Malaysia dan yang kedua di Asia Tenggara selepas Queen Sirikit Museums of Textile di Bangkok, Thailand. Jika Queen Sirikit Museums of Textile berjaya mengetengahkan teknik peragaan 3D Invisible Mounting System khususnya penggunaan Buckram dalam peragaan busana diraja milik permaisurinya, Queen Sirikit, maka Jabatan Muzium Malaysia juga berjaya mengetengahkan teknik peragaan 3D Invisible Mounting System khususnya dengan penggunaan Interfacing Lining dalam peragaan busana milik Ikon Fesyen Retro Negara, SALOMA.
Harapan Jabatan Muzium Malaysia sebagai penerbit ialah semoga penerbitan buku ini dapat menjadi inspirasi dan aspirasi kepada generasi kini dan akan datang untuk lebih menghargai peranan muzium sebagai institusi pendidikan tidak formal, selain boleh berbangga dengan warisan seni dan budaya tinggalan nenek-moyang kita, apatah lagi jika ia milik ikon kesayangan semua. Nampak mudah, namun bukan sesuatu yang biasa untuk memulihara koleksi khususnya bahan organik yang rata-ratanya berusia 35 sehingga 65 tahun lamanya dan dipamerkan dalam masa yang sama agar elemen warisan, keaslian, malah nilai estetikanya boleh ditontoni serta dikagumi oleh masyarakat Malaysia yang masih terkesan dengan legasi tinggalan biduanita ini khususnya fesyen dan gayanya.
- Versi mesra pencetak
- 5209 bacaan