Sempena Istiadat Pertabalan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim, Jabatan Muzium Malaysia telah menganjurkan Pameran Raja Kita yang akan berlangsung dari 26 Julai hingga 29 September 2024 bertempat di Galeri 1 dan 2, Jabatan Muzium Malaysia.
Pameran ini diadakan sebagai satu inisiatif untuk mengangkat Institusi Yang di-Pertuan Agong dalam sistem pemerintahan Demokrasi Berparlimen dan Konsep Raja Berperlembagaan agar ia terus terpelihara sebagai lambang kedaulatan yang memayungi setiap rakyat negara ini.
Pameran Raja Kita pada kali ini menghimpunkan sebanyak 272 koleksi. Antara koleksi yang dipamerkan selain Regalia Persekutuan, turut dipamerkan juga koleksi peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku Berdua.
Pelbagai aktiviti pendidikan seperti Bicara @Muzium, Podcast Pojok Muzium serta program dan aktiviti sisipan berbentuk hands-on akan diadakan sepanjang dua bulan pameran ini berlangsung. Ini akan membolehkan rakyat menghayati Institusi Yang di-Pertuan Agong di samping mengenali dengan lebih dekat lagi keperibadian Baginda Tuanku sekaligus menyemarakkan lagi slogan “Raja dan Rakyat berpisah tiada”.
- Versi mesra pencetak
- 2874 bacaan