Di Jabatan Muzium Malaysia (JMM), kegiatan perolehan terhadap koleksi hiasan perahu khususnya bangau pada perahu telah bermula sejak awal penubuhan Muzium Negara pada tahun 1963. Sebahagian daripada koleksi bangau ini pernah dipamerkan dan dicatatkan oleh Mubin Sheppard dalam Museum Federation Journal 1963. Koleksi ini merupakan antara koleksi bangau yang unik dan amat sukar ditemui pada masa sekarang. Ini kerana koleksi bangau yang dimiliki oleh JMM mewakili hampir setiap jenis perahu yang pernah digunakan di Pantai Timur seperti perahu payang, payang buatan barat, sekoci, kolek, kolek kue, jalora dan bedar. Kajian ini menumpukan kepada 60 koleksi bangau dengan meneliti penggunaan tema dan motif pada koleksi bangau perahu yang berada di repositori Jabatan Muzium Malaysia. Selain itu, penelitian ini turut mengenal pasti koleksi bangau berdasarkan klasifikasi perahu serta menilai falsafah disebalik penciptaan objek bangau sebagai hiasan perahu.