
Bola sepak merupakan sukan paling popular di Malaysia dan telah memainkan peranan penting dalam menyemarakkan semangat kebangsaan sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan. Kejayaan penganjuran Kejohanan Bola Merdeka yang bermula pada tahun 1957 telah menjadi simbol kepada kedaulatan negara yang baru merdeka serta menjadi platform memperkenalkan Malaysia di persada antarabangsa melalui sukan.
Sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026, Jabatan Muzium Malaysia menganjurkan Pameran Bola Merdeka: Satu Inspirasi bagi mengetengahkan sejarah perkembangan bola sepak negara serta kaitannya dengan pembinaan identiti nasional, perpaduan masyarakat dan semangat patriotik.
Pameran ini akan mengimbau detik-detik bersejarah bola sepak Malaysia melalui koleksi artifak, bahan arkib, dokumentasi, fotografi, bahan audiovisual dan elemen interaktif yang dapat memberi pengalaman bermakna kepada pengunjung. Pameran ini juga selari dengan aspirasi Kementerian Perpaduan Negara untuk memperkukuh perpaduan melalui penghayatan sejarah, warisan dan budaya negara.