SOALAN LAZIM KEMPEN DERMA KOLEKSI
FREQUENTLY ASKED QUESTIONS (FAQ)
JABATAN MUZIUM MALAYSIA (JMM)
PENGENALAN KEMPEN DERMA KOLEKSI
S1. Apakah dia Kempen Derma Koleksi?
Kempen Derma Koleksi adalah program promosi di bawah Jabatan Muzium Malaysia (JMM) bertujuan bagi melindungi dan melestari khazanah warisan negara melalui sumbangan koleksi peribadi masyarakat yang bernilai dari sudut sejarah, seni, budaya dan alam semula jadi kepada JMM.
S2. Siapa yang layak menderma koleksi?
Individu yang berusia 18 tahun ke atas, sama ada yang bermaustautin di Malaysia atau di luar negara dan merupakan pemilik yang sah kepada koleksi yang ingin didermakan.
JENIS-JENIS KOLEKSI
S3. Apakah jenis koleksi yang boleh didermakan?
Koleksi yang boleh didermakan adalah seperti koleksi kemerdekaan, tekstil, perhiasan diri, senjata, permainan tradisional, hasil kraftangan, alat pertukangan dan perusahaan, serta koleksi alam semula jadi. (Sila rujuk 4. Klasifikasi Koleksi).
S4. Apakah saya boleh menderma koleksi yang diperolehi secara jumpaan (Contoh: jumpaan syiling lama di premis persendirian?)
Tidak. Sebarang jumpaan perlu dilaporkan kepada Jabatan Warisan Negara.
S5. Apakah koleksi yang tidak boleh didermakan kepada JMM?
Koleksi yang tidak termasuk dalam Klasifikasi Koleksi, jumpaan, harta rampasan/pensitaan, bahan letupan, bahan berbahaya dan koleksi yang bukan milik sah penderma.
TATACARA DERMA KOLEKSI
S6. Bagaimanakah cara untuk menderma koleksi kepada Jabatan Muzium Malaysia?
Anda perlu melengkapkan borang permohonan menderma koleksi yang boleh dimuat turun www.jmm.gov.my. Sertakan dengan minima dua (2) keping gambar yang jelas dan berwarna bagi setiap koleksi, dan emailkan ke koleksi@jmm.gov.my atau dipos ke alamat seperti di borang permohonan.
S7. Apakah syarat-syarat untuk menderma koleksi?
(Sila Rujuk Pautan Syarat-syarat Derma Koleksi di laman utama Kempen Derma Koleksi).
S8. Adakah saya boleh mengirim atau menghantar terus koleksi kepada JMM?
Tidak. JMM hanya menerima borang permohonan sahaja. Ini kerana penilaian dan tapisan harus dilaksanakan bagi menentukan keaslian dan kepentingan koleksi pada muzium, bangsa dan negara.
PENILAIAN KOLEKSI
S9. Bagaimanakah koleksi saya dinilai?
Jawatankuasa Penilai JMM akan menilai koleksi anda dari sudut kepentingannya kepada sejarah,seni, budaya, warisan atau alam semulajadi negara. Penilaian juga mengambil kira kondisi koleksi, jumlah sedia ada di setor penyimpanan koleksi dan manfaatnya kepada muzium.
S10. Adakah JMM menawarkan perkhidmatan penilaian harga pada koleksi yang didermakan?
Tidak. JMM tidak menawarkan perkhidmatan ini kecuali sekiranya ada permohonan untuk pengesahan nilai koleksi bagi tujuan inisiatif pengecualian cukai oleh pemohon.
S11. Adakah JMM menawarkan perkhidmatan penilaian ketulenan/komposisi bahan pada koleksi yang didermakan?
Tidak. JMM tidak menawarkan perkhidmatan ini.
KELULUSAN DERMA KOLEKSI
S12. Berapa lama saya dapat mengetahui samaada permohonan derma koleksi diluluskan?
Lazimnya proses permohonan dan penilaian mengambil masa tiga ke enam bulan sebelum keputusan permohonan dimaklumkan kepada penderma.
S13. Bagaimana saya ingin mengetahui samaada permohonan saya berjaya atau tidak?
Pihak JMM akan menghubungi anda sekiranya permohonan anda berjaya.
S14. Adakah semua koleksi yang didermakan akan diterima oleh JMM?
Tidak, Ini kerana penilaian dan tapisan harus dilaksanakan bagi menentukan kondisi dan jumlah sedia ada koleksi di setor penyimpanan koleksi, serta bagi memastikan keaslian dan kepentingan koleksi pada muzium, bangsa dan negara.
PENGHANTARAN KOLEKSI (SELEPAS KELULUSAN)
S15. Adakah saya boleh terus menghantar koleksi yang ingin didermakan ke JMM?
Tidak, pihak JMM akan menghubungi anda sekiranya permohonan anda berjaya.
S16. Kos penghantaran koleksi adalah di bawah tanggungan siapa?
Kos penghantaran koleksi adalah di bawah tanggungan penderma.
FAEDAH DERMA KOLEKSI
S17. Apakah faedah yang saya perolehi bagi koleksi yang didermakan kepada JMM?
Antara faedah-faedah yang diperolehi adalah sijil/surat penghargaan dari JMM dan inisiatif pengecualian cukai sekiranya dipohon. (Sila rujuk pautan Faedah Derma Koleksi).
S18. Adakah inisiatif pengecualian cukai akan diberi secara automatik kepada penderma koleksi?
Tidak. Inisiatif pengecualian cukai harus dipohon oleh penderma.
S19. Apakah dia inisiatif pengecualian cukai?
Inisiatif pengecualian cukai adalah surat pengesahan nilai koleksi yang dimohon penderma sebagai dokumen sokongan bagi tuntutan Akta Cukai Pendapatan di bawah Subseksyen 44(6A) – Hadiah artifak, manuskrip atau lukisan.
LAIN-LAIN
S20. Adakah saya atau waris boleh menuntut semula koleksi selepas diserahkan kepada JMM?
Tidak. Koleksi yang telah diserahkan kepada JMM akan menjadi hak milik mutlak Kerajaan dan tidak boleh diserahkan semula kepada penderma.
S21. Adakah koleksi saya akan pasti dipamerkan di galeri pameran muzium?
Jabatan Muzium Malaysia tidak boleh menjamin koleksi penderma akan di pamerkan di galeri muzium. Ini kerana hanya sebilangan kecil sahaja koleksi yang dipamerkan di muzium dan selebihnya disimpan secara selamat di repositori artifak. Keperluan untuk mempamerkan koleksi penderma adalah bergantung kepada tema pameran dan kesesuaian koleksi bagi pameran tersebut. Bagaimanapun, koleksi penderma akan kekal terpelihara di muzium sebagai khazanah warisan negara yang berharga di masa kini dan akan datang.