• Warna
  • | Saiz teks
Sistem Perpustakaan VTLS
Sistem Pengurusan Aset JMM
Sistem Foto JMM
SPOT-ME

Archive - 2013

Anda di sini

Anda di sini

Februari 25th

Pameran 130 Tahun Muzium Perak '1883-2013: Dulu, Kini dan Selamanya'

Pameran 130 Tahun Muzium Perak '1883-2013: Dulu, Kini dan Selamanya'

PENGENALAN

Muzium Perak dibina pada tahun 1883 dan merupakan muzium yang pertama ditubuhkan di Malaysia. Pada tahun 2013 ini, usianya telah genap 130 tahun. Bangunan Muzium Perak mempunyai keunikan dari segi seni bina yang mempunyai pengaruh bangunan masyarakat ‘moor’ di India yang digabungkan dengan seni bina ‘neo-classical’ dan ‘victorian’ masyarakat Eropah. Ia direka bentuk oleh arkitek berbangsa Inggeris dari England. 

 

OBJEKTIF

  1. Memberi pengetahuan kepada masyarakat mengenai sejarah awal penubuhan muzium.
  2. Menyebarkan maklumat mengenai perkembangan institusi permuziuman.
  3. Memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan memelihara warisan sejarah dan budaya Negara.
  4. Menarik lebih ramai pelawat mengunjungi muzium.
  5. Memupuk semangat cintakan muzium.

 

SEJARAH PENUBUHAN

Idea penubuhan Muzium Perak dicetuskan oleh Sir Hugh Low, Residen British ketiga di negeri Perak ketika itu. Beliau merasakan perlunya ditubuhkan sebuah muzium di Tanah Melayu untuk dijadikan sebagai sebuah pusat penyelidikan dan pengumpulan bahan sejarah, budaya dan alam semulajadi Negara. Tujuannya adalah untuk mengkaji budaya material masyarakat tempatan sebagai salah satu usaha memahami cara hidup budaya setempat. Beliau telah melantik Leonard Wray Jr., seorang ahli botani dan geologi untuk mengumpulkan spesimen-spesimen alam semulajadi dan etnologi sebagai koleksi awal Muzium Perak.

 

KERJA-KERJA BAIKPULIH BANGUNAN

Sejajar dengan usianya yang telah menjangkau 130 tahun, telah banyak berlaku kerosakan pada setiap struktur bangunannya. Justeru itu, kerja-kerja baikpulih bangunan telah dijalankan secara berperingkat-peringkat mulai bulan November 2007 hingga Mac 2009.

Fasa 1 - Galeri C dan D (9 November 2007 - 18 April 2008)

Fasa 2 - Galeri A, Perpustakaan dan Stor Artifak  (23 Jun 2008  - 22 Oktober  2008)

Fasa 3 - Galeri B (23 Oktober 2008 - Mac 2009)

 

KERJA-KERJA NAIK TARAF GALERI

Selaras dengan arus kemodenan teknologi, Muzium Perak telah menjalankan kerja-kerja naik taraf galeri pameran termasuk membangunkan fasilitinya. Antara kerja-kerja naik taraf yang dilakukan adalah dari segi teknik peragaan pameran, teknik pencahayaan, penyampaian maklumat dan pembangunan multimedia. Kerja-kerja naik taraf  ini  dijalankan untuk memberi wajah baru agar menarik lebih ramai orang untuk mengunjungi Muzium Perak.  Bagaimanapun, kerja-kerja naik taraf ini tidak melibatkan struktur asal peti pameran kerana ia sendiri merupakan artifak yang perlu dipelihara.

Fasa I              – Galeri D (2009)

Fasa II            – Galeri C (2010)

Fasa III            – Galeri B (2011)

Fasa IV           – Galeri A (2012)

Fasa V            – Perpustakaan dan Pameran Luar (2013)

 

AKTIVITI-AKTIVITI

Selain mengadakan pameran tetap, sementara dan bergerak, Muzium Perak juga menjalankan pelbagai aktiviti untuk tujuan promosi dan pendidikan muzium. Pelbagai aktiviti dianjurkan seperti ceramah, bengkel, pertandingan kuiz, eksplorasi muzium dan sebagainya. Program-program yang dijalankan ini melibatkan kerjasama daripada badan-badan kerajaan dan  bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan, pertubuhan-pertubuhan kebudayaan dan individu-individu dari seluruh lapisan masyarakat. Tujuannya adalah untuk mewujudkan jaringan kerjasama dan  mendekatkan institusi permuziuman dengan masyarakat.

 

PENCAPAIAN

Sejak awal penubuhannya, Muzium Perak telah mendapat beberapa pengiktirafan dari badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan. Pencapaian ini dijadikan sebagai satu semangat untuk Muzium Perak terus mencapai kegemilangan dan kecemerlangan. Antaranya adalah seperti :

  1. MemenangiAnugerah Bangunan Warisan Sejarah Taiping bagi kategori Bangunan Awam sempena Hari Perbandaran Taiping pada tahun 2000.
  2. Pengiktirafan daripada Malaysia Book of Record di atas pencapaian mencipta Basikal Berkembar Terpanjangpada tahun 2003.
  3. Memenangi Pertandingan Bangunan Tercantik bagi kategori Bangunan Awam sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan Ke-47 pada tahun 2004.
  4. Pada 14 Februari 2009, bangunan Muzium Perak telah diisytiharkan sebagai salah sebuah   Tapak  Warisan  Kebangsaan  (kategori   bangunan)  oleh  Kementerian  Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan   Warisan   Malaysia. 

 

PENUTUP

Pelbagai usaha telah dilakukan bagi  memastikan  bangunan  ini  terus  utuh  dan  megah  sebagai  peneraju institusi permuziuman di negara ini. Bermula dari penubuhan Muzium Perak, kini institusi permuziuman di Malaysia semakin berkembang pesat. Statistik terkini Jabatan Muzium Malaysia menunjukkan sehingga kini terdapat 21 buah muzium yang berada di bawah kelolaannya. Manakala sebanyak 88 buah muzium telah ditubuhkan di bawah kerajaan negeri, 34 buah muzium di bawah institusi pendidikan dan jabatan-jabatan kerajaan serta 10 buah muzium persendirian. Senario ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia telah mulai sedar akan kepentingan memelihara warisan sejarah dan budaya Negara.

 

 

Halaman

Kemas kini terakhir: 27 March 2024 - 10:06am

Developed and designed by Hadafi Solution and Resources