
Website:
Brosur 1 | Brosur 2

Idea penubuhan Muzium Negara telah dicetuskan oleh Yang Teramat Mulia Tuanku Abdul Rahman Putra Al Haj Perdana Menteri Malaysia Pertama (Tanah Melayu ketika itu). Kerja pembangunannya telah dimulakan pada tahun 1959 dan siap sepenuhnya pada 31hb Ogos 1963. Upacara perasmiannya telah disempurnakan oleh ke Bawah DYMM Tuanku Syed Putra Al-Haj ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalullail Yang di Pertuan Agong Ketiga. Senibina Muzium ini telah menggabungkan rekabentuk Istana Melayu tradisional dan dihiasi dengan motif Melayu. Dinding hadapannya turut dihiasi dengan dua buah mural yang diperbuat daripada kaca mozek Itali yang memaparkan rentetan sejarah dan kebudayaan Melayu. Pengurusan Muzium Negara kini dikendalikan oleh Jabatan Muzium Malaysia di bawah portfolio Kementerian Perpaduan Negara. Muzium Negara merupakan muzium termasyhur di Malaysia dan salah sebuah yang terulung di Asia Tenggara. Seni bina muzium ini berasaskan seni bina Istana Raja-raja Melayu dan mempunyai empat buah galeri utama.
Koleksi Dan Galeri
Galeri Sejarah Awal
Galeri ini mempersembahkan segala maklumat dan bukti-bukti tinggalan kebudayaan (material Culture) masyarakat awal di Malaysia. Melalui kajian sejarah dan kerja-kerja ekskavasi di lapangan oleh ahli-ahli akademik dan arkeologi mendapati bahawa masyarakat terawal di negara ini muncul kira-kira 500,000 tahun SM. Masyarakat ini menjalani kehidupan dengan berburu dan mendiami kawasan tebing-tebing sungai, tasik dan juga gua. Zaman ini dikenali sebagai zaman batu berdasarkan penemuan artifak-artifak yang diperbuat daripada batu dan lukisan yang terdapat pada dinding gua seperti yang ditemui di Kota Tampan (Perak), Gua Niah (Sarawak), Ulu Tembeling (Pahang) dan Tingkayu (Sabah). Pentarikhan (Geo-Paleontologi dan Geo-Morfologi) yang dilakukan ke atas kawasan dan tinggalan artifak ini menunjukkan terdapatnya perkembangan kebudayaan dan corak hidup masyarakat yang dibahagikan kepada tiga zaman iaitu Paleolitik, Hoabinhian dan Neolitik. Selain itu, galeri ini juga memaparkan maklumat dan artifak-artifak dari Zaman Logam, Kebudayaan Megalitik dan Proto Sejarah
Galeri Kerajaan Melayu Awal
Galeri ini menyelusuri sejarah perkembangan tamadun Melayu selepas zaman pra sejarah dengan pembentukan kerajaan-kerajaan awal yang mempunyai sistem kenegaraan, ekonomi, keagamaan dan kebudayaan sebagai jatidiri wilayah Alam Melayu (Malay World) termasuk Semenanjung Tanah Melayu dan Borneo. Kemunculan penempatan dan kerajaan awal yang digambarkan dalam galeri ini secara tidak langsung dapat membuktikan perkembangan sosio-politik Melayu, jaringan sistem ekonomi terutama perdagangan antarabangsa dan perluasan ciri-ciri kebudayaan serta keagamaan kelompok rumpun Melayu. Kewujudan kerajaan-kerajaan awal ini diperkuatkan lagi dengan pameran artifak-artifak yang mempunyai pengaruh keagamaan yang menjadi mercu tanda sesebuah kerajaan itu.
Galeri Era Kolonial
Galeri ini memaparkan sejarah negeri-negeri Melayu, Sabah dan Sarawak ketika berada di bawah cengkaman kuasa asing yang bermula pada tahun 1511 menerusi penceroboh Portugis ke atas Kota Melaka. Siri Penjajahan ini berlarutan dan silih berganti kepada Belanda dan menular ke seluruh negara menerusi penguasaan British dan Jepun. Tarikan kepada kuasa asing ini adalah hasil-mahsul bumi Melayu. Mereka datang untuk menguasi perdagangan rempah serta mengeksploitasi bahan mentah, khususnya bijih timah yang merupakan bahan mentah yang terpenting semasa tercetusnya revolusi perindustrian di negara-negara Eropah pada kurun ke-18. Penguasaan kuasa-kuasa asing ke atas negara ini berlaku selama lebih 400 tahun. Tempoh ini menyaksikan kekayaan negara dibolot dan dieksploitasi menyebabkan timbulnya bibit-bibit kesedaran dan semangat perjuangan anak bangsa untuk bangkit membebaskan diri dari belenggu penjajahan. Turut dimuatkan adalah perubahan-perubahan sosial, politik dan ekonomi yang berlaku di sepanjang tempoh tersebut.
Galeri Malaysia Kini
Galeri ini menyingkap sejarah gerakan nasionalisme yang dipelopori oleh tokoh-tokoh kebangsaan sehinggalah kepada penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO (United Malay National Organisation) pada tahun 1946. Kelantangan suara menuntut hak dan pembebasan sepenuhnya dari tangan British telah diperjuangan pelbagai pihak dari pelbagai kaum sehinggalah negara ini akhirnya kembali merdeka sebagai sebuah negara yang bebas dan berdaulat pada 31 Ogos 1957 menerusi meja rundingan. Pada 16 September 1963 negara maju setapak lagi dengan kemasukan Sabah, Sarawak dan Singapura (1963-1965). Penubuhan Malaysia telah mewujudkan satu entiti politik yang kukuh dan bersepadu sehingga ke hari ini. Perpaduan kaum, kestabilan politik yang bertunjangkan sistem pemerintahan raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen serta pencapaian-pencapaian negara yang membanggakan termasuk pembangunan fizikal yang bersifat moden, mega dan mencakar langit turut menjadi paparan galeri ini.
Dibuka setiap hari bermula jam 9 pagi hingga 5 petang. Waktu terakhir pembelian tiket pada jam 4.30 petang.
Ditutup pada Hari Raya Pertama dan Kedua Aidil Fitri serta Hari Raya Aidil Adha
Jenis Pelawat
|
Kadar
|
Warganegara |
RM 2.00
|
Warga Tua dan Orang Kelainan Upaya (OKU) |
RM 1.00
|
Kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah (warganegara) |
Percuma
|
Pelajar Sekolah Menengah berpakaian Seragam (warganegara) |
Percuma
|
Pelajar Sekolah Menengah tidak berpakaian Seragam (warganegara) |
RM 2.00
|
Ahli International Council of Museums (ICOM) |
Percuma
|
Bukan Warganegara |
RM 5.00
|
Kanak-kanak berumur (6 tahun hingga 12 tahun) (bukan warganegara) |
RM 2.00
|
Kanak-kanak berumur kurang daripada 6 tahun (bukan warganegara) |
Percuma
|
Lawatan Berpandu
Lawatan berpandu percuma selama satu jam diberi oleh sukarelawan Muzium berdasarkan jadual. Tempahan perlu dibuat terlebih dahulu untuk kumpulan & rombongan sekolah.
Sila hubungi 03-2267 1111 samb. 125 (Isnin-Jumaat, 8.00 pagi-5.00 petang) untuk sebarang pertanyaan atau emel kepada pr.mn@jmm.gov.my.
Pegawai untuk dihubungi
Puan Nor Hanisah binti Ahmad - Timbalan Pengarah (hanisah@jmm.gov.my)
Dengan Bas: Naiki Bas RapidKL No.115 (KL City Shuttle RM2 untuk satu hari) di Sentral KL
Dengan Komuter: Turun di stesen KL Sentral, berjalan sejauh 0.5 km ke Muzium Negara
Dengan MRT: Turun di Stesen Muzium Negara
Kadar Bayaran Letak Kereta
RM 3.00 | Jam Pertama atau Sebahagian darinya |
RM 3.00 | Jam Berikut atau Sebahagian darinya |
RM 10.00 | Sekali Masuk (Bas, Van & Teksi) |
RM 50.00 | Tiket Hilang (Denda) |
* Kadar bayaran di atas adalah tidak termasuk 6% SST
* Transaksi bayaran menggunakan kad Touch n Go
Waktu Operasi: Isnin-Jumaat dan Cuti Umum / 7.00 pagi - 7.00 malam
Kemudahan Penginapan
- The Heritage Station Hotel, KL Railway Station Building, Jalan Sultan Hishamuddin
- Carcosa Seri Negara, Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur
- Kuala Lumpur Mandarin Hotel, 2-8 Jalan Sultan, Kuala Lumpur
- Swiss Inn, 62 Jalan Sultan, Kuala Lumpur
- Renaissance Hotel, Corner of Jalan Sultan Ismail and Jalan Ampang, Kuala Lumpur
- dan hotel-hotel di sekitar bandaraya Kuala Lumpur
Tempat-tempat Menarik Berhampiran
- Taman Tasik yang lengkap dengan kemudahan rekreasi
- Planetarium
- Muzium Kesenian Islam
- Stesen KL Sentral
- Taman Burung
- Memorial Tun Razak
- Muzium Polis Diraja Malaysia
- Taman Orkid
Kedai Cenderahati
Muzium's Shop di Muzium Negara
Kafetaria, Tempat letak kereta, Surau, Tempat Istirahat diluar bangunan Muzium Negara dan Lawatan Berpandu (atas permintaan).
Address:
Muzium Negara, Jalan Damansara, 50566 Kuala Lumpur.
Tel:
03-2267 1111
Fax:
03-2267 1011
Email:
info@jmm.gov.my
Versi mesra pencetak
- 119082 bacaan