• Warna
  • | Saiz teks

Muzium Sungai Lembing

Anda di sini

Anda di sini

Muzium Sungai Lembing

Brosur 1 | Brosur 2

Latarbelakang

Mengenai Muzium

Muzium Sungai Lembing berperanan menyebarkan maklumat serta mempamerkan bukti-bukti sejarah kegemilangan perlombongan bijih timah di Sungai Lembing seiring dengan statusnya yang pernah menjadi kawasan perlombongan bawah tanah yang terbesar di dunia, sebuah bandar yang terkaya dan pengeluar utama bijih timah di negeri Pahang.  Bandar ini diibaratkan sebagai El-Dorado Timur di negeri-negeri Tanah Melayu kerana di sinilah letaknya sebuah perkampungan masyarakat Inggeris, iaitu di Lembah Sungai Kenau.

Mengenai Bangunan

Bangunan muzium ini terletak di atas bukit di sebelah timur menghala ke Sungai Kenau. Pada asalnya bangunan ini merupakan tempat kediaman bagi pengurus-pengurus besar syarikat lombong bijih timah di Sungai Lembing, bermula dengan Syarikat The Pahang Corporation Limited , pada tahun 1887 hingga tahun 1906 hinggalah ke zaman kegemilangan Syarikat The Pahang Consolidated Company Limited (PCCL) dari  tahun 1906 hingga tahun 1986. Rumah kediaman pengurus ini dahulunya dikenali sebagai The European Bungalow atau singkatannya EB1, yang membezakannya dengan rumah Pegawai Kanan British yang lain.

Struktur binaan bangunan ini mengikut reka bentuk vertikular-kolonial dan mempunyai kronologi sejarah pembinaan yang tersendiri. Bermula dengan bangunan bersaiz kecil, dengan atap yang diperbuat daripada daun nipah dan berdindingkan kulit-kulit kayu, ia diubah suai dari semasa ke semasa bermula dari zaman J.T Mariner pada tahun 1911 hingga  zaman pengurusan H.R.M. Hodding pada tahun 1966.
Semasa Perang Dunia Kedua, bangunan ini digunakan sebagai markas tentera Jepun sehingga tahun 1945. Setelah pengunduran tentera Jepun, bangunan ini diambil alih oleh PCCL untuk meneruskan kegiatan perlombongan hinggalah kejatuhan harga timah pada tahun 1986.

Mengenai Galeri

Galeri Aras Bawah terdiri daripada empat segmen iaitu Galeri 1-Pengenalan dan Sejarah Sungai Lembing, Galeri 2 – Proses Perlombongan dan Keselamatan, Galeri 3 – Diorama Perlombongan dan Galeri 4 – Jentera dan Peralatan Elektrik. Ruang ini memaparkan aktiviti-aktiviti dan proses perlombongan bijih timah di bawah tanah hinggalah ke peringkat pemasaran keluar bijih. Ia turut menyentuh tentang peranan dan sumbangan syarikat PCCL dalam pembangunan Pekan Sungai Lembing.

Galeri Aras Atas pula terdiri daripada  tujuh segmen iaitu Galeri 5 – Sejarah Perlombongan, Galeri 6 – Geologi dan Geomorfologi, Galeri 7 – Arked Perlombongan, Galeri 8 – Memori Perlombongan, Galeri 9 – Peralatan dan Pakaian, Galeri 10 – Kaedah Perlombongan dan Galeri 11 – Ekonomi Perlombongan. Galeri ini memperagakan maklumat menyeluruh tentang sejarah, keadah perlombongan serta kehidupan, peralatan dan kelengkapan pelombong.

Mengenai Koleksi

Muzium Sungai Lembing memperagakan koleksi peralatan asal perlombongan yang pernah digunakan untuk melombong bijih timah bawah tanah di Sungai Lembing. Antara koleksi  menarik di muzium ini ialah Acuan-acuan Kayu, iaitu pelbagai jenis acuan kayu yang digunakan untuk membuat alat-alat ganti bagi kegunaan mesin-mesin yang beroperasi di dalam kawasan kilang. Selain itu terdapat juga roda kiew dan winch yang merupakan sebahagian peralatan untuk menaikkan atau menurunkan pekerja, barang-barang, kayu atau besi di kolong serta untuk kerja-kerja menarik bijih. Alat pemadam api yang berusia lebih 50 tahun dan troli henjut juga merupakan koleksi menarik di muzium ini.

Objektif Penubuhan Muzium

  1. Mengimbas kembali sejarah kegemilangan perlombongan bijih timah di Sungai Lembing serta tokoh yang terlibat dengannya untuk tatapan generasi kini dan akan datang
  2. Memelihara, mengumpul sejarah dan kebudayaan negara termasuk artifak, monumen serta tinggalan lain di Sungai Lembing untuk terus dipulihara dan disimpan.
  3. Menarik minat masyarakat dan pelawat agar terus meminati sejarah warisan, negara, seterusnya memanfaatkan pengetahuan yang diperoleh.
  4. Menyebarkan maklumat kepada penyelidik dan pencinta sejarah serta menggiatkan lagi usaha ke arah pendokumentasian sejarah yang berkaitan dengannya.

Waktu Operasi

Hari Isnin hingga Ahad : 9.00 pagi - 5.00 petang
Hari Jumaat : 9.00 pagi – 12.15 tengah hari dan 2.45 petang- 5.00 petang.
 
Tutup pada hari raya pertama Aidilfitri & Aidiladha
 
Bayaran Masuk
Jenis Pelawat
Kadar
Warganegara
RM 2.00
Warga Tua dan Orang Kelainan Upaya (OKU)
RM 1.00
Kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah (warganegara)
Percuma
Pelajar Sekolah Menengah berpakaian Seragam (warganegara)
Percuma
Pelajar Sekolah Menengah tidak berpakaian Seragam (warganegara)
RM 2.00
Ahli International Council of Museums (ICOM)
Percuma
Bukan Warganegara
RM 5.00
Kanak-kanak berumur (6 tahun hingga 12 tahun) (bukan warganegara)
RM 2.00
Kanak-kanak berumur kurang daripada 6 tahun (bukan warganegara)
Percuma
 
Pengangkutan
Bas dan Teksi dari Terminal Bas Kuantan

Kemudahan Penginapan

Sekitar Bandar Kuantan dan Pekan Sungai Lembing

Tempat-tempat Menarik Berhampiran

Pekan Sungai Lembing, Terowong Sungai Lembing, Air Terjun Pelangi, Bukit Panorama, Jambatan Gantung,  Rumah Kristal, Galeri 3D Sungai Lembing.

Kedai Cenderahati

Para pelawat berpeluang membeli cenderamata di D Mine Shoppe yang dikendalikan kakitangan muzium. Kedai ini bakal menyediakan pelbagai jenis cenderamata seperti cawan, jam, topi, kemeja T, pen, produk yang diperbuat daripada bijih timah dan buku-buku sejarah berkaitan dengan Sungai Lembing.
 
Kemudahan
Tandas, Surau, Tempat letak kereta, Lawatan Berpandu, Kemudahan Penyelidikan, Kedai Cenderamata dan Kafeteria.
 

Peta Lokasi

View Muzium Sungai Lembing in a larger map

Address: 
Muzium Sungai Lembing, Sungai Lembing, 26200 Pahang.
Tel: 
09-541 2378
Fax: 
09-541 2377
Email: 
pr.msl@jmm.gov.my

Kemas kini terakhir: 22 Februari 2017 - 11:37am

Developed and designed by Hadafi Solution and Resources