31 Oktober 2014 - 11:32 pm

Muzium Seni Bina Malaysia

Muzium Seni Bina Malaysia
 
Muzium Seni Bina Malaysia mula dibuka kepada umum pada bulan September 2005. Objektif utama penubuhannya adalah untuk mempamerkan keunikan warisan seni bina yang terdapat di Malaysia. Selain daripada menjadi satu lagi destinasi pelancongan, muzium ini juga turut menekankan aspek pendidikan dengan menyediakan pusat sumber sebagai tempat rujukan mengenai warisan seni bina yang terdapat di Malaysia.
 
Ruang pameran yang terdapat di muzium ini dibahagikan kepada 8 galeri utama yang memaparkan seni bina rumah-rumah Melayu Tradisional, Seni Bina Istana, Seni Bina Kolonial, Seni Bina Moden, Seni Bina Rumah Ibadat, Seni Bina Kota-Kota Pertahanan dan Seni Bina Peribumi. Persembahan pameran ini dilengkapi dengan gabungan teks dan model-model bangunan bersejarah yang menarik serta unik. Antara yang menarik ialah model stesen keretapi Tanah Melayu, Masjid Kapitan Keling Pulau Pinang dan banyak lagi. Selain daripada itu turut dipamerkan ialah peralatan-peralatan pertukangan tradisi yang digunakan dan juga ukiran-ukiran yang terdapat pada rumah-rumah Melayu.
 
Bangunan yang dijadikan muzium ini adalah sebuah bangunan yang dibina pada pertengahan abad ke-18 oleh pemerintah Belanda bagi menempatkan pegawai-pegawainya. Ia kemudian dijadikan pejabat pentadbiran semasa pentadbiran Inggeris. Sebelum diambil alih oleh Jabatan Muzium Malaysia untuk dijadikan muzium pada tahun 2000, bangunan ini telah digunakan sebagai pejabat pentadbiran Lembaga Air Melaka sejak tahun 1982.
 
Muzium Seni Bina Malaysia ini yang diletakkan di bawah pengurusan Jabatan Muzium Malaysia Wilayah Selatan adalah satu-satunya muzium yang seumpamanya yang diharap dapat memberikan sedikit gambaran mengenai keunikan, keistimewaan dan ketinggian mutu warisan seni bina yang terdapat di Malaysia kepada masyarakat umum.
 

Waktu Lawatan

Isnin - Ahad: 9.00 pagi - 6.00 petang
Tutup pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri dan hari pertama Hari Raya Aidiladha
 
Masuk adalah PERCUMA
 

Kemudahan

1. Perpustakaan
2. Bilik tayangan video
3. Lawatan berpandu akan disediakan (hubungi pegawai kami untuk permohonan)
4. Terdapat restoran dan hotel berhampiran muzium
5. Tandas awam
 

Peta Lokasi

View Muzium Senibina Malaysia in a larger map

Address: 
Muzium Seni Bina Malaysia Jabatan Muzium Malaysia (Wilayah Selatan) No. 1, Jalan Kota, 75000 Melaka.
Tel: 
06-288 1450 / 3599
Fax: 
06-288 3826
Email: 
azahar@jmm.gov.my