• Warna
  • | Saiz teks

Muzium Labuan

Anda di sini

Anda di sini

Muzium Labuan

Brosur 1 | Brosur 2

Latarbelakang

Muzium Labuan dibuka secara rasmi kepada umum pada 8 Oktober 2004 oleh  YB Datuk Seri Utama Dr Rais B. Yatim, Menteri Kebudayaan, Kesenian Dan Warisan pada ketika itu. Bangunan Muzium Labuan dibina pada tahun 1950-an bagi menempatkan Pejabat Pentadbiran Kolonial British pada ketika itu. Selepas tahun 1963, ia menempatkan Pejabat Daerah Labuan dan seterusnya Pejabat Majlis Perbandaran Labuan pada sekitar  tahun 1980-an. Jabatan Muzium Dan Antikuiti ( Jabatan Muzium Malaysia hari ini) mengambil alih dan melaksanakan kerja-kerja konservasi ke atas bangunan ini pada tahun 1999 selepas pengambilalihan daripada Perbadanan Labuan. Pada bulan Ogos 2001, kerja-kerja hiasan dalaman ke atas bangunan dimulakan dan selesai pada Februari 2002.

Objektif

  • Memulihara warisan sejarah dan kebudayaan Wilayah Persekutuan Labuan melalui koleksi, penyelidikan, pendokumentasian dan pameran tetap.
  • Menyalurkan kefahaman yang lebih berkesan kepada pelawat-pelawat dari dalam mahupun luar negara tentang perkembangan sejarah dan keharmonian serta kekayaan sejarah dan keharmonian serta kekayaan budaya wilayah persekutuan Labuan khususnya dan negara amnya.
  • Memupuk kesedaran dan keprihatinan masyarakat terhadap pentingnya memulihara warisan sejarah dan budaya pelbagai kaum dalam usaha mewujudkan masyarakat harmoni di Labuan.
  • Menambahkan bilangan produk pelancongan di Wilayah Persekutuan Labuan yang sedia ada.

Galeri Pameran

Pameran di Muzium Labuan mempunyai 2 aras yang mengkhusus kepada tema sejarah dan kebudayaan di WP Labuan. Aras bawah mengkhususkan kepada tema sejarah yang memfokus kepada 8 segmen utama iaitu segmen pengenalan, era pra-sejarah, era pentadbiran British, era perang dunia kedua, era pasca perang, segmen Labuan di bawah pentadbiran Sabah, segmen Personaliti Unggul dan segmen perkembangan Labuan sebagai sebuah Wilayah Persekutuan. Manakala aras atas pula menumpukan tema kebudayaan yang mempamerkan aspek sosio-budaya dan sosio-ekonomi masyarakat tempatan di W.P. Labuan melalui 6 seksyen yang mewakili kaum Melayu-Brunei, Kedayan, Cina, Kadazandusun, India dan Sikh, sekaligus menggambarkan keharmonian masyarakat di pulau ini.

Tarikan utama di aras dua ialah replika rumah suku kaum Kadayan yang memberikan pengalaman kepada pengunjung merasai suasana di dalam rumah tradisional yang berasaskan bahan kayu tulin di samping pelbagai ragamhias dan motif tembaga pelbagai guna yang pernah digunakan di Labuan.

Pameran Terkini

Koleksi artifak menarik yang terdapat di Muzium Labuan ialah artifak batu atau stone quern zaman neolitik yang ditemui di Pulau Burong. Begitu juga koleksi persenjataan perang dunia seperti senjata pemusnah kapal selam yang dikenali sebagai ‘depth charge’ dan ‘anti submarine projectile’ (ASP). Kedua-dua senjata ini pernah digunakan dengan meluas oleh Tentera Bersekutu untuk memusnahkan kapal selam tentera lawan sekitar perang dunia ke-2. Koleksi berharga lain yang dapat dihayati ialah pen, kerusi dan meja yang pernah digunakan oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir B. Mohamed dan mantan Ketua Menteri Sabah, Datuk Harris B. Mohamad Salleh semasa majlis pengisytiharan Labuan sebagai sebuah Wilayah Persekutuan pada 16 April 1984. Pengunjung juga akan dapat melihat koleksi matawang dan setem Labuan yang pernah digunakan semasa zaman kolonial, sebahagiannya telah berusia melebihi seabad.

Koleksi etnologi yang memaparkan alat-alat perekonomian, alatan muzik, senjata dan alat perburuan, pakaian dan peralatan ritual yang digunakan oleh pelbagai kaum di WP Labuan. Apa yang menariknya sebahagian besar bahan-bahan pameran berkenaan boleh disentuh oleh pengunjung. Turut dipamerkan adalah amalan adat budaya seperti perkahwinan yang menggambarkan betapa aspek warisan masih teguh dipertahankan di pulau ini. Pelbagai koleksi tembaga dipamerkan seperti meriam kecil, lengguai, cupu, gabuk, dulang dan seumpamanya yang suatu ketika dahulu pernah dijadikan sebahagian daripada kegunaan harian oleh masyarakat di Labuan khususnya kaum Melayu Brunei dan Kadayan.Begitu juga beberapa koleksi peribadi tokoh-tokoh masyarakat seperti pingat serta anugerah pencapaian yang diterima.

Penyelidikan Dan Koleksi

Bil.

Penyelidikan

Tahun

1

Kajian Pengesahan Fakta Sejarah Labuan

2008

2

Penyelidikan Pameran Hiasan Tembaga

2011

 

Waktu Operasi

Isnin – Ahad
8.30 pagi – 5.00 petang

Waktu Tutup

Ditutup Hari Raya pertama Aidilfitri dan Aidil Adha sahaja.

Bayaran Masuk

Percuma

Kemudahan

Tempat meletak kenderaan, Tandas, Surau, Pejabat Pos, Telekom, Pusat Penerangan Pelancongan, Restoran.

Pengangkutan

Pengunjung boleh menaiki teksi lebih kurang 8 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Labuan dengan tambang RM 8.80 sahaja.

Lawatan Berpandu

Perkhidmatan Lawatan Berpandu diadakan sekiranya ada permohonan.

Kemudahan Penginapan

Hotel Grand Dorsett, Hotel Sara, Hotel Mariner, Hotel Ambasador, Hotel Aifa, Hotel Victoria dan Beta Apartment.

Tempat Menarik Berhampiran

Dataran Labuan, Kompleks Ujana Kewangan dan Taman Botanical Labuan.

Kedai Cenderahati

Tiada

Peta Lokasi

 

View Muzium Labuan in a larger map

Address: 
Muzium Labuan, Jabatan Muzium Malaysia Wilayah Labuan, U 0364, Jalan Dewan, 87008 Wilayah Persekutuan Labuan.
Tel: 
087-419 451
Fax: 
087-414 462
Email: 
pr.mlabuan@jmm.gov.my

Kemas kini terakhir: 22 March 2017 - 10:13am

Developed and designed by Hadafi Solution and Resources