• Warna
  • | Saiz teks

Muzium Diraja

Anda di sini

Anda di sini

Muzium DiRaja

Brosur 1 | Brosur 2

Latarbelakang

Muzium Diraja yang bertempat di Istana Negara lama, Jalan Istana, Kuala Lumpur merupakan tempat bersemayam Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong sejak tahun 1957 hingga tahun 2011. Setelah itu, bangunan Istana Negara lama ini dijadikan Muzium Diraja dan mula dibuka kepada orang ramai pada bulan Februari 2013 sehingga kini. 
 
Muzium Diraja merupakan bangunan Istana Negara lama yang telah dibina sejak tahun 1928. Pada asalnya bangunan ini adalah rumah agam kediaman jutawan Cina yang dikenali sebagai Chan Wing. Rekaan bangunan dua tingkat ini adalah hasil kreativiti daripada sebuah firma seni bina yang terkenal di Singapura iaitu Swan & MacLaren. Keluasan kediaman seluas 11.34 hektar menerapkan seni bina gaya Palladian bagi menunjukkan kemewahan dan kehebatan kediaman tersebut sebagai rumah agam yang terbesar di Tanah Melayu ketika itu. Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu, bangunan ini dijadikan mes pegawai tentera Jepun, dan kemudiannya diambil alih oleh British Military Administration (BMA) untuk kegunaan Tentera Udara Diraja selepas Perang Dunia Kedua berakhir. 
 
Setelah itu pada tahun 1950, bangunan ini dijadikan sebagai istana sementara Sultan Selangor, Al-Marhum Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Alaiddin Sulaiman Shah sehingga tempoh pajakan tamat pada bulan Februari 1957. Bangunan ini akhirnya dibeli oleh Kerajaan Persekutuan dan dijadikan sebagai Istana Negara iaitu kediaman rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Sebagai Istana Negara, bangunan ini telah diubahsuai beberapa kali dan mengalami penambahan secara besar-besaran sekitar tahun 1980-an dengan penambahan Balairung Seri Utama untuk upacara rasmi. Bangunan ini menjadi kediaman rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sehingga tahun 2011 semasa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke XIII.
 

Objektif

  • Merancang, melaksana dan memantau aktiviti penyelidikan dan pengumpulan maklumat dan menjadi pusat rujukan berkaitan Institusi Raja Berperlembagaan di Malaysia.
  • Menyebarkan maklumat dan mengenalpasti sistem beraja di Malaysia.
  • Memelihara bangunan dan landskap Muzium Diraja yang telah diwartakan sebagai monumen dan khazanah negara.
  • Mengendalikan aktiviti-aktiviti pendidikan dan pengembangan seperti pameran tetap, pameran berkala dan pameran sementara serta lawatan berpandu.

Visi

Menjadi pusat rujukan dan penyelidikan utama dalam segala aspek mengenai Institusi Raja Berperlembagaan.

Misi

  • Menjadi sebuah muzium khas yang menjelaskan secara komprehensif akan peranan dan fungsi ruang Istana Negara lama.
  • Menyediakan pameran menarik mengenai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
  • Memberi kefahaman kepada rakyat Malaysia dan luar negara akan kepentingan Institusi Raja Berperlembagaan.
  • Menjadi produk pelancongan yang istimewa di Malaysia.

Pameran Terdahulu

1. Pameran Raja Kita (2012)

Pameran itu diadakan sebagai satu cara untuk memperkenalkan dan memupuk hubungan yang lebih erat antara Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tsimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Haminah dengan rakyat. Sistem Demokrasi Berparlimen dan konsep Raja Berperlembagaan juga dipamerkan. Pameran ini bertujuan untuk memberi manfaat dan menyedarkan semua akan kepentingan memelihara konsep ini untuk generasi akan datang sebagai simbol kedaulatan negara, payung yang melindungi rakyat Malaysia.

2. Pameran Majlis Raja-Raja: Penaung Legasi Raja-Raja Melayu (2013)

Pameran ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pengunjung tempatan dan dari luar negara berkenaan badan yang berperanan besar dalam institusi Raja Berperlembagaan di Malaysia. Majlis Raja-Raja merupakan satu badan rasmi yang ditubuhkan mengikut Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan Malaysia sebagai tempat bagi Raja-Raja dan Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri bertemu dan berbincang. Dianggap unik kerana ia adalah satu-satunya badan yang diwujudkan bagi tujuan tersebut di dunia pada masa kini. 

Antara fokus yang dititikberatkan sebagai pengisian di dalam pameran ini ialah sejarah penubuhan, fungsi, keanggotaan ahli, bidang tugas dan kuasa serta kepentingannya dalam institusi beraja. Ia juga merangkumi bidang tugas Setiausaha Majlis Raja-Raja sebagai Penyimpan Mohor Besar Majlis Raja-Raja. Selain daripada itu, pemilihan gambar dan peristiwa-peristiwa yang berkaitan sejak bermulanya Majlis Raja-Raja ditubuhkan sehingga kini akan turut dipaparkan. Ia bertujuan bagi memberi pemahaman yang jelas kepada pengunjung akan fungsi sebenar badan tersebut.

3. Pameran Koleksi Terpilih Raja-Raja Melayu Siri I & Siri II (2014)

Pameran sementara yang bertajuk ”Koleksi Terpilih Raja-Raja Melayu” ini dibahagikan kepada tiga siri pameran yang mengetengahkan sembilan buah negeri beraja di Malaysia. Pameran ini secara keseluruhannya bertujuan untuk mengangkat institusi Raja Berperlembagaan di Malaysia dan menjelaskan sejarah sistem beraja yang menjadi warisan sejarah negara ini. Ia juga bertujuan meninggikan martabat raja-raja Melayu dan mendidik pengunjung akan kepentingan institusi raja-raja dalam memastikan ia tidak lenyap ditelan zaman

Pameran Siri I dan Siri II ini telah diadakan sepanjang tahun 2014. Siri I mempamerkan koleksi terpilih daripada Sultan Kedah, Sultan Pahang dan Raja Perlis. Manakala dalam Siri II pula, koleksi daripada Sultan Kelantan dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dipamerkan. Antara koleksi yang dijadikan sebagai pengisian pameran adalah alat-alat kebesaran atau regalia raja-raja Melayu dan juga koleksi peribadi sultan dari negeri-negeri tersebut. 


Aktiviti Muzium

1. Lawatan berpandu

Perkhidmatan lawatan berpandu juga disediakan oleh Muzium Diraja kepada para pelawat berkumpulan yang memohon secara rasmi kepada Pengarah Muzium. Menerusi lawatan berpandu sebegini, pengunjung akan berpeluang untuk berinteraksi secara langsung dengan pegawai muzium dan mendapat penerangan yang lebih mendalam berkenaan Institusi Raja Berperlembagaan dan fungsi ruang-ruang istana yang dipamerkan. 

2. Bengkel

Muzium Diraja turut menyelaraskan beberapa jenis bengkel bersama-sama dengan Unit Pembangunan Modal Insan, Bahagian Konservasi dan juga pihak luar. Bengkel-bengkel ini diadakan bertujuan untuk memberi pemahaman dan kemahiran kepada peserta tentang seni budaya diraja Melayu dan kebudayaan luar negara. Antara bengkel yang pernah dianjurkan adalah seperti berikut:

  • Bengkel Melipat Tengkolok (2013)
  • Bengkel Teater Bunraku dan Wayang Kulit (2014)
  • Bengkel Tulisan Khat (2014)
  • Bengkel Jahitan Tradisional (2014)
  • Bengkel Konservasi Kayu (2015)

Penyelidikan Dan Koleksi

Bil Penyelidikan Tahun
1 Penyelidikan Pameran Majlis Raja-Raja: Penaung Legasi Raja-Raja Melayu 2013
2 Penyelidikan Pameran Koleksi Terpilih Raja-Raja Melayu Siri I & Siri II 2014

Galeri

Kompleks Istana Negara lama ini terdiri daripada dua blok bangunan iaitu:

Galeri Istana - Merupakan kediaman Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong I sehingga XIII. Bangunan galeri istana dibina pada tahun 1928 yang memperlihatkan ruangan rasmi dan ruangan peribadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Setiap ruangan mempunyai nama khas, fungsi, rekaan dan protokol yang tersendiri.

Balairung Seri - Dibina pada tahun 1980-an dan digunakan untuk upacara dan adat istiadat rasmi oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong. Antaranya seperti Upacara Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, upacara mengangkat sumpah, upacara pelantikan Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan yang baharu, upacara pengurniaan pingat dan anugerah kebesaran Persekutuan, upacara mempersembahkan dan menerima pelantikan diplomat asing dan Majlis Makan Malam Diraja. 


Koleksi Buku/ Jurnal Terpilih di Perpustakaan

  • Abdul Aziz Basri. 2006. Majlis Raja-Raja – Kedudukan dan Peranan Perlembagaan Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. 
  • Dato’ Md Nizam Md Sherif. 2012. Istana Negara Lambang Kedaulatan dan Keagungan Raja-Raja Melayu. Kuala Lumpur: Maya Maju Sdn. Bhd. 
  • Dr. Rais Yatim. (Ed.) 2011. Daulat Dijunjung Kasih Disanjung. Kuala Lumpur: Jabatan Penerangan Malaysia
  • Halim Ibrahim. 2010. Raja dan Rakyat Berpisah Tiada. Kuala Lumpur: Perpustakaan Negara Malaysia. 
  • Mohd Taib Osman. 2006. Adab Raja-Raja. Kuala Lumpur: Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia. 
  • Nik Hassan Suhaimi Nik Abdul Rahman dan rakan-rakan. (Ed.) 2005. Prosiding Seminar Antarabangsa Kesultanan Melayu Nusantara Sejarah dan Warisan, “Memupuk  Warisan dan Tradisi Sejarah Bangsa Beraja”. Lembaga Muzium Negeri Pahang dan ATMA Universiti Kebangsaan Malaysia Bangi. 
  • Shamsuddin Jaafar. 2012. Raja Berperlembagaan Malaysia – Raja-Raja Melayu dan Yang Di-Pertua Negeri Abad 21. Selangor: Kaedah Kota Management (M) Sdn. Bhd. 
  • Siti Rosnah Ahmad. 2004. Raja Permaisuri Agong – Payung Mahkota Ibu Pertiwi. Selangor: Golden Books Centre Sdn. Bhd. 
  • Sultan Abdul Halim – A Royal Journey. 2008. Kedah: Kedah State Government. 
  • Tunku Sofiah Jewa. 2012. The Return. Kuala Lumpur: Perpustakaan Negara Malaysia. 

Waktu Operasi

 9.00 pagi – 5.00 petang / Isnin- Ahad

Waktu Tutup

Tutup pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri & Hari Raya Aidiladha
 

Bayaran Masuk

Warganegara

  • Dewasa Tempatan: RM 5.00
  • Kanak-kanak 6-12 tahun: RM 2.00
  • Warga Emas: RM 3.00
  • Orang Kelainan Upaya (OKU): RM 3.00
  • Pelajar sekolah beruniform: RM 2.00
  • Pelajar sekolah tidak beruniform & 13-17 tahun: RM 3.00
  • Kanak-kanak tempatan 5 tahun ke bawah: Percuma

Bukan Warganegara

  • Dewasa: RM10.00
  • Kanak-kanak pelancong: RM5.00
  • Kanak-kanak pelancong 5 tahun ke bawah: Percuma

Kemudahan

Tandas, tandas OKU, tempat letak kereta dan bas, kerusi roda, kereta ‘buggy’ dan dewan badminton.

Pengangkutan

Pengunjung boleh datang menggunakan kenderaan sendiri atau menaiki teksi.

Lawatan Berpandu

Muzium Diraja menyediakan lawatan berpandu pada setiap hari. Lawatan berpandu ini dikendalikan oleh petugas galeri Muzium Diraja. 

Kemudahan Penginapan

Berikut merupakan tempat penginapan yang berhampiran dengan Muzium Diraja, iaitu dalam lingkungan 1-6 km :

  • Hotel Le Meridien Kuala Lumpur
  • Hotel Hilton
  • Hotel The Majestic Kuala Lumpur
  • Hotel Best Western Premier
  • Hotel Mandarin Court Kuala Lumpur
  • Hotel Prescott Kuala Lumpur Sentral
  • Hotel Midah Kuala Lumpur

Tempat Menarik Berhampiran

 Berikut merupakan tempat-tempat menarik yang berhampiran dengan Muzium Diraja, iaitu dalam lingkungan 1-6 km :

  • Muzium Negara
  • Muzium Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)
  • Muzium Kepolisan
  • Masjid Negara
  • Memorial Tun Abdul Razak
  • Taman Dusun Bandar, DBKL
  • Taman Tasik Perdana
  • Planetarium Negara
  • Petaling Street
  • Pasar Seni
  • Thean Hou Temple
  • Hindu Temple, Brickfield

Peta Lokasi

Koordinat (GPS) : 3° 07' 57.3" N, 101° 41' 44.5" E

View Muzium Diraja in a larger map

Address: 
Muzium Diraja, Jalan Istana, 50460 Kuala Lumpur
Tel: 
03-2272 1896
Fax: 
03-2272 1907
Email: 
pr.mdr@jmm.gov.my

Kemas kini terakhir: 28 April 2017 - 6:29pm

Developed and designed by Hadafi Solution and Resources