Muzium Sungai Lembing berperanan menyebarkan maklumat serta mempamerkan bukti-bukti sejarah kegemilangan perlombongan bijih timah di Sungai Lembing seiring dengan statusnya yang pernah menjadi kawasan perlombongan bawah tanah yang terbesar di dunia, sebuah bandar yang terkaya dan pengeluar utama bijih timah di negeri Pahang. Bandar ini diibaratkan sebagai El-Dorado Timur di negeri-negeri Tanah Melayu kerana di sinilah letaknya sebuah perkampungan masyarakat Inggeris, iaitu di Lembah Sungai Kenau.
Bangunan muzium ini terletak di atas bukit di sebelah timur menghala ke Sungai Kenau. Pada asalnya bangunan ini merupakan tempat kediaman bagi pengurus-pengurus besar syarikat lombong bijih timah di Sungai Lembing, bermula dengan Syarikat The Pahang Corporation Limited , pada tahun 1887 hingga tahun 1906 hinggalah ke zaman kegemilangan Syarikat The Pahang Consolidated Company Limited (PCCL) dari tahun 1906 hingga tahun 1986. Rumah kediaman pengurus ini dahulunya dikenali sebagai The European Bungalow atau singkatannya EB1, yang membezakannya dengan rumah Pegawai Kanan British yang lain.
Struktur binaan bangunan ini mengikut reka bentuk vertikular-kolonial dan mempunyai kronologi sejarah pembinaan yang tersendiri. Bermula dengan bangunan bersaiz kecil, dengan atap yang diperbuat daripada daun nipah dan berdindingkan kulit-kulit kayu, ia diubah suai dari semasa ke semasa bermula dari zaman J.T Mariner pada tahun 1911 hingga zaman pengurusan H.R.M. Hodding pada tahun 1966.
Semasa Perang Dunia Kedua, bangunan ini digunakan sebagai markas tentera Jepun sehingga tahun 1945. Setelah pengunduran tentera Jepun, bangunan ini diambil alih oleh PCCL untuk meneruskan kegiatan perlombongan hinggalah kejatuhan harga timah pada tahun 1986.
Galeri Aras Bawah terdiri daripada empat segmen iaitu Galeri 1-Pengenalan dan Sejarah Sungai Lembing, Galeri 2 – Proses Perlombongan dan Keselamatan, Galeri 3 – Diorama Perlombongan dan Galeri 4 – Jentera dan Peralatan Elektrik. Ruang ini memaparkan aktiviti-aktiviti dan proses perlombongan bijih timah di bawah tanah hinggalah ke peringkat pemasaran keluar bijih. Ia turut menyentuh tentang peranan dan sumbangan syarikat PCCL dalam pembangunan Pekan Sungai Lembing.
Galeri Aras Atas pula terdiri daripada tujuh segmen iaitu Galeri 5 – Sejarah Perlombongan, Galeri 6 – Geologi dan Geomorfologi, Galeri 7 – Arked Perlombongan, Galeri 8 – Memori Perlombongan, Galeri 9 – Peralatan dan Pakaian, Galeri 10 – Kaedah Perlombongan dan Galeri 11 – Ekonomi Perlombongan. Galeri ini memperagakan maklumat menyeluruh tentang sejarah, keadah perlombongan serta kehidupan, peralatan dan kelengkapan pelombong.
Muzium Sungai Lembing memperagakan koleksi peralatan asal perlombongan yang pernah digunakan untuk melombong bijih timah bawah tanah di Sungai Lembing. Antara koleksi menarik di muzium ini ialah Acuan-acuan Kayu, iaitu pelbagai jenis acuan kayu yang digunakan untuk membuat alat-alat ganti bagi kegunaan mesin-mesin yang beroperasi di dalam kawasan kilang. Selain itu terdapat juga roda kiew dan winch yang merupakan sebahagian peralatan untuk menaikkan atau menurunkan pekerja, barang-barang, kayu atau besi di kolong serta untuk kerja-kerja menarik bijih. Alat pemadam api yang berusia lebih 50 tahun dan troli henjut juga merupakan koleksi menarik di muzium ini.
Dibuka setiap hari bermula jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang
Ditutup pada Hari Raya Pertama dan Kedua Aidil Fitri serta Hari Raya Pertama Aidil Adha
Jenis Pelawat
|
Kadar
|
Warganegara |
RM 2.00
|
Warga Tua dan Orang Kelainan Upaya (OKU) |
RM 1.00
|
Kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah (warganegara) |
Percuma
|
Pelajar Sekolah Menengah berpakaian Seragam (warganegara) |
Percuma
|
Pelajar Sekolah Menengah tidak berpakaian Seragam (warganegara) |
RM 2.00
|
Ahli International Council of Museums (ICOM) |
Percuma
|
Bukan Warganegara |
RM 5.00
|
Kanak-kanak berumur (6 tahun hingga 12 tahun) (bukan warganegara) |
RM 2.00
|
Kanak-kanak berumur kurang daripada 6 tahun (bukan warganegara) |
Percuma
|
Links:
[1] http://www.jmm.gov.my/files/brosur/MSL.pdf
[2] https://www.facebook.com/profile.php?id=61555813411826&mibextid=ZbWKwL