• Warna
  • | Saiz teks

Muzium Alam Semula Jadi

Anda di sini

Anda di sini

Muzium Alam Semula Jadi

Brosur 1 | Brosur 2

Latarbelakang
Penubuhan Muzium Alam Semula Jadi di Presint 15, Putrajaya merupakan satu usaha kerajaan untuk mengumpul, mendokumentasikan dan mempamerkan khazanah alam semulajadi merangkumi fauna, flora, batuan, mineral dan fosil yang terdapat di negara ini untuk dimanfaatkan oleh segenap lapisan masyarakat dalam negara mahupun pelancong. Muzium ini menyimpan ribuan spesimen fauna yang hampir pupus dan terancam sebagai rujukan berkaitan warisan alam semulajadi negara kita. Semenjak Jabatan Muzium Malaysia ditubuhkan, Muzium Alam Semula Jadi yang dahulunya dikenali sebagai Bahagian Ilmu Kejadian adalah merupakan salah satu bahagian yang diwujudkan oleh jabatan untuk membuat kajian dan dokumentasi berkaitan bidang fauna, flora dan geologi negara. Proses pengutipan spesimen flora dan fauna untuk koleksi muzium ini sebenarnya telahpun bermula seawal tahun 1901 lagi yang mana telah dilakukan oleh pegawai-pegawai Inggeris yang pernah berkhidmat di Tanah Melayu pada masa itu. Ini dibuktikan berdasarkan rekod spesimen terawal yang kini masih dalam simpanan muzium sehingga kini. Muzium ini mula dibuka kepada pelawat sejak Februari 2010. 
 
Objektif
  • Mengumpul, menyelidik dan mempamer warisan flora, fauna dan geologi untuk memelihara dan mengembangkan pengetahuan kepada masyarakat dunia tentang khazanah alam semulajadi negara ini.
  • Menjadikan Muzium Alam Semula Jadi sebagai pusat rujukan dan sumber maklumat khazanah alam semulajadi, terutamanya spesies flora dan fauna yang telah pupus dan terancam.
  • Mendokumentasikan segala koleksi spesimen flora, fauna dan geologi untuk rujukan saintis dan generasi akan datang.
  • Menjadikan khazanah alam semulajadi negara ini sebagai salah satu aset pelancongan negara ini.
Visi
Menjadi Pusat Penyelidikan serta Rujukan Biodiversiti dan Geodiversiti Terulung Negara. 
 
Misi
  • Menginterpretasikan alam semulajadi melalui penyelidikan, pameran dan pendidikan. 
  • Menyebarkan ilmu pengetahuan warisan alam semulajadi negara.
  • Pencetus inspirasi dan aspirasi demi memupuk semangat mencintai kekayaan warisan alam semulajadi.

Pameran Terkini

Wajah Baru Muzium Alam Semula Jadi (2015)

Bertempat di sebuah bangunan dengan kemudahan moden dan dikelilingi taman-taman yang indah, Muzium Alam Semula Jadi menyimpan koleksi yang terdiri daripada pelbagai spesimen flora, fauna dan geologi Malaysia. Muzium ini memaparkan sebahagian daripada warisan semula jadi negara kita yang paling berharga dan semakin diancam kepupusan seperti mamalia, reptilia, serangga, hidupan laut, burung, batuan, mineral, fosil dan lain-lain untuk dikaji, difahami dan dihargai
 
Pameran Terdahulu

Pameran Mamalia Malaysia (2010 – 2014)

Pameran Mamalia Malaysia berlangsung di aras bawah Muzium Alam Semula Jadi. Pameran ini memaparkan lebih 49 koleksi spesimen mamalia seperti skeleton, tengkorak, gading dan haiwan yang telah diawetkan. Spesimen yang dipamer pula berlatar-belakangkan pemandangan habitat liarnya dan disertakan dengan maklumat ringkas tentang haiwan yang dipamer. Kebanyakan spesimen tersebut adalah merupakan  antara haiwan yang kian terancam dan hampir pupus. Salah satu tarikan utama di Muzium Alam Semula Jadi ialah skeleton ikan paus Bryde sepanjang kira-kira 39 kaki panjang. 
 

Pameran Serangga (2011)

Pameran Serangga dan Lelabah memperagakan kepelbagaian spesis serangga di Malaysia yang sangat unik dan menarik. Sebanyak 378 spesies serangga dan lelabah dipamerkan di dalam pameran ini meliputi sejumlah 8 kumpulan utama serangga iaitu Phasmatodea, Lepidoptera, Coleoptera, Orthoptera, Odonata, Hemiptera, Mantodea dan Arachnida. Tarikan utama pameran ini adalah spesimen yang jarang dijumpai (spesimen langka) seperti Kumbang Panjang (Pachyteria sp.), Kumbang Goliath (kumbang terbesar di dunia), serangga daun gergasi, kupu-kupu kepala ular (Atlas moth) dan banyak lagi. 
 

Pameran Batuan Pelik (2011)

Pameran Batuan Pelik mempamerkan pelbagai jenis batuan yang unik terdiri daripada batu meteor, fosil kayu terpetri dan koleksi pelbagai mineral. Batu meteor sebagai contohnya merupakan batuan dari angkasa lepas yang jatuh bebas ke permukaan bumi akibat dari perlanggaran dan pergeseran batuan asteroid di angkasa. Fosil kayu terpetri pula terhasil daripada proses pemendapan sedimen, pengisian mineral dan sekitaran yang sesuai yang menghalang kayu tersebut daripada mereput dan terpelihara dengan baik. Mineral unik pula mempunyai ciri-ciri kandungan kimia tertentu, struktur susunan atom teratur dan ciri-ciri fizikal spesifik. Hasilnya hablur yang terbentuk mempunyai pelbagai warna, kekerasan, kilauan atau relapan, retakan, ira dan corekan yang berbeza. Antara tarikan pameran ialah fosil alat batu dalam Suevit yang  dijumpai hasil kajian di Bukit Bunuh, Lenggong, Perak pada tahun 2008.  Artifak alat batu seperti kapak genggam dan alat repehan ini ditemui melekat di dalam batuan suevit, sejenis batuan yang terbentuk akibat hentaman meteorit yang berlaku 1.8 juta tahun dahulu. Penemuan ini mencadangkan bahawa artifak tersebut berusia lebih 1.8 juta tahun kerana artifak itu ditemui melekat di dalam batu suevit. Ini bermakna masyarakat terawal di rantau Asia Tenggara adalah di Malaysia, khususnya di Lembah Lenggong.
 

Pameran Foto Alam (2011)

Pameran Foto Alam yang berlangsung pada 14 Jun 2011 bertujuan untuk mempamerkan semua hasil seni fotografi khusus mengenai alam semulajadi negara kita. Ia diadakan sebagai kesinambungan daripada penganjuran Pertandingan Foto Alam yang telah berlangsung pada 6 April hingga 6 Mei 2011 yang lalu. Objektif pertandingan itu adalah untuk menggalakkan masyarakat lebih menghargai keindahan alam semulajadi menerusi seni fotografi. Selain itu ia turut memberi peluang kepada semua peringkat umur untuk melibatkan diri dalam aktiviti seni fotografi disamping turut menjadi medium untuk mereka mencurahkan kreativiti seni foto masing-masing khusus dalam apresiasi terhadap alam semulajadi. Lebih daripada 230 keping gambar yang dipamerkan (70 keping gambar imej cetak dan 160 keping gambar secara maya dan) di dalam pameran ini adalah hasil karya para peserta yang menyertai Pertandingan Foto Alam 2011. Terdapat dua kategori utama yang telah dipertandingkan kategori terbuka (18 tahun ke atas) dan kategori sekolah (bawah 18 tahun) dan setiap peserta boleh memilih 3 subjek utama iaitu flora, fauna dan batuan.  
 

Pameran Misteri Sang Buaya (2011 hingga 2012)

Pada 26 November 2011 hingga 29 Februari 2012, Pameran Misteri Sang Buaya telah diadakan di Muzium Alam Semula Jadi Putrajaya. Objektif pameran ini adalah untuk memberi maklumat kepada pelawat muzium tentang reptilia buaya yang telah wujud di muka bumi sejak zaman prasejarah lagi. Walaupun sering berlaku konflik antara manusia dengan haiwan ini namun disebaliknya terdapat pelbagai rahsia dan cerita yang menarik berkenaan sang buaya ini. Skop pameran ini merangkumi sejarah awal kewujudan buaya, penemuan fosil buaya yang  membuktikan kewujudannya pada zaman prasejarah, spesies-spesies buaya yang terdapat di Malaysia, kitaran hidup buaya, sifat semula jadinya, aspek perlindungan dan pemuliharaan, konflik di antara buaya dan manusia serta keunikkannya yang mempengaruhi kehidupan manusia. Beberapa koleksi spesimen awetan seperti buaya “Bujang Samarahan”, buaya terkecil di dunia (Osteolaemus tetraspis), buaya julong-julong (Tomistoma  schlegelii), kisah legenda buaya ‘Bujang Senang’ serta replika buaya tembaga (Crocodylus porosus)  atau lebih dikenali dengan ‘Buaya Puchong” yang panjangnya kira-kira 5.58 meter merupakan tarikan utama pengunjung ke pameran ini.
 

Pameran Keunikan Bonsai (2012)

Pameran Keunikan Bonsai 2012 telah diadakan bermula pada 15 Mac 2012 hingga 15 April 2012. Pameran kali ini diadakan khusus untuk mempamerkan lebih daripada 202 pokok-pokok bonsai yang unik dan berkualiti dari seluruh tanahair untuk tatapan para pelawat ke Muzium Alam Semula Jadi, Putrajaya. Pameran ini diadakan untuk memaparkan keunikan dan kepelbagaian seni bonsai tempatan kepada masyarakat selain menggalakkan aprisiasi masyarakat tentang alam semula jadi menerusi seni bonsai. Pengunjung turut disajikan dengan pelbagai informasi berkaitan seni bonsai antaranya sejarah bonsai, perkembangan bonsai tempatan dan antarabangsa, kaedah asas penjagaan bonsai, gaya dan bentuk bonsai, jenis-jenis pokok bonsai serta fakta-fakta menarik tentang bonsai. Daya tarikan utama dalam pameran ini adalah 4 jenis pokok bonsai yang termahal dan tertua di Malaysia. Bersempena dengan pameran ini, pengunjung turut berpeluang menyertai acara sampingan yang diadakan seperti pertandingan bonsai, klinik bonsai, serta jualan dan lelongan produk bonsai. 
 

Pameran Katak & Kodok (2013-2014)

Pameran Katak dan Kodok telah dibuka kepada umum sejak 22 Mac 2013. Pameran ini diadakan untuk menyebarkan maklumat dan pengetahuan berkaitan amfibia yang semakin diancam kepupusan akibat kemusnahan alam dan perubahan iklim dunia. Spesimen hidup katak dan kodok, spesimen awetan dan skeleton katak dipamerkan dalam pameran ini disamping penerangan ciri-ciri umum, morfologi, famili, kitaran hidup, teknik kelangsungan hidup (survival), diet pemakanan, peranan dalam ekosistem dan usaha-usaha konservasi. Antara spesies katak dan kodok hidup yang dipamerkan dalam pameran ini ialah Azureus Blue Dart Frog, Reindwardt Flying Frog, Malaysian Horned Frog, African bullfrog, dan Yellow Spotted Toad manakala sejumlah 82 spesimen lagi ialah jenis awetan kering dan basah serta rangka skeleton katak. Antara koleksi terpilih muzium yang turut dipamerkan ialah Wallace’s Flying Frog, iaitu spesies katak yang dinamakan sempena nama naturalis tersohor British, Alfred Russel Wallace.
 

Mekar Si Bunga Merah (2015)

Bunga raya atau Hibiscus rosa-sinensis adalah merupakan bunga rasmi negara kita Malaysia sejak 55 tahun yang lalu. Bunga yang sangat dikenali ramai ini telah dinobatkan sebagai Bunga Kebangsaan pada 28hb Julai 1960 oleh Perdana Menteri Malaysia pada masa itu, YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Pokok bunga raya adalah tumbuhan jenis renek, berbatang keras, daunnya bergerigi dan bersaiz sederhana besar. Bunganya terdapat dalam pelbagai warna dan memiliki lima kelopak samada berlapis atau tidak berlapis. Bunga ini mudah tumbuh di kawasan tropika dan menjadi antara pilihan utama sebagai tumbuhan hiasan. Namun tidak ramai yang mungkin menyedari bahawa bunga ini mempunyai pelbagai kegunaan dan pengaruhnya dalam kehidupan terutamanya dari aspek amalan kesihatan, seni, budaya, ekonomi dan sebagainya. Justeru pameran ini diadakan untuk memaparkan serba sedikit maklumat berkaitan bunga kebanggaan rakyat Malaysia ini tentang sejarahnya, anatomi, kegunaan, dan beberapa fakta yang berkaitan dengan bunga raya untuk pengetahuan dan manfaat pelawat. 
 
Aktiviti Muzium

Lawatan berpandu

Perkhidmatan lawatan berpandu juga disediakan oleh Muzium Alam Semula Jadi kepada para pelawat berkumpulan yang memohon secara rasmi kepada Pengarah Muzium. Menerusi lawatan berpandu sebegini, pengunjung akan berpeluang untuk berinteraksi secara langsung dengan pegawai muzium dan mendapat penerangan yang lebih mendalam berkenaan spesimen yang dipamerkan. 

Program ‘Outreach’ 

Program “Outreach’ adalah merupakan salah satu kaedah untuk muzium mendekati komuniti tempatan dalam usaha untuk mempromosi muzium dan juga menyebarkan maklumat tentang khazanah alam semulajadi negara. Lazimnya program ini akan disertakan dengan pameran skala kecil dengan tema tertentu serta dipamerkan juga spesimen-spesimen berkaitan sebagai tarikan. Aktiviti berunsurkan pendidikan diselitkan untuk menambahkan kefahaman pelawat tentang pameran yang diadakan dan kepentingan memelihara khazanah flora dan fauna negara. 

Night at the museum

Program Bermalam di Muzium Alam Semulajadi merupakan satu program yang diadakan untuk  memberi pendedahan kepada pelajar tentang peranan institusi Muzium khususnya Muzium Semula Jadi sebagai sebuah pusat rujukan dan pendidikan yang menarik untuk dilawati. Program seumpama ini dapat memberi peluang kepada para pelajar untuk mengenali dan mendekati muzium seterusnya memantapkan kefahaman bahawa Muzium bukanlah sebuah bangunan usang yang menyimpan artifak lama atau spesimen tetapi sebaliknya adalah sebuah institusi pendidikan yang melaksanakan tanggungjawab memulihara, memelihara dan mempamerkan warisan  alam semulajadi negara yang amat bernilai.

Program SMART KIDS 2015

Program Smart Kids 2015 di KLCC Aquaria merupakan sebahagian daripada program Out Reach Muzium Alam Semulajadi bersama-sama dengan Muzium Negara. Bertemakan ‘Kembali Ke Alam Pra Sejarah’ (Back to Stone Age), fokus pengisian program memberi tumpuan dalam memberikan pendedahan kepada pengunjung berkaitan cara hidup masyarakat Pra Sejarah. Terdapat lima aktiviti disediakan dan perlu disertai oleh kanak-kanak berusia antara 5 hingga 12 tahun yang bermula dari pencarian fosil, penggunaan batu dalam penghasilan api, membuat rantai menggunakan cengkerang, melukis menggunakan arang dan memasang tulang dinosaur. Pengunjung yang berjaya melaksanakan kesemua aktiviti akan diberikan hadiah berupa pensil warna manakala ibu bapa yang hadir telah mengambil kesempatan untuk mengisi Borang Soal Selidik selain mendapatkan maklumat berkaitan Jabatan Muzium Malaysia. Program berlangsung selama dua hari bermula 9 hingga 20 Oktober 2015 dan telah mendapat sambutan yang baik dari pengunjung.

Kursus

Program pembangunan modal insan dalam bidang permuziuman ini sememangnya penting untuk memastikan bahawa kakitangan muzium sentiasa berpengetahuan, berkemahiran dan berkeyakinan untuk melaksanakan tugas-tugas dalam bidang permuziuman ini. Sehubungan dengan itu, Muzium Alam Semula Jadi turut menyelaraskan beberapa jenis kursus yang berkaitan bidang alam semulajadi bersama-sama unit latihan jabatan dengan turut melibatkan tenaga pakar dari dalam dan luar negara. Antara kursus yang pernah dianjurkan adalah seperti berikut:
Kursus Taksidermi Burung (2004)
Kursus Pengurusan Herbarium (2005)
Kursus Moulding & Casting Ikan (2005)
Kursus Taksidermi Mamalia-Rusa (2006)
Kursus Menyelam di Pulau Tioman (2006)
Bengkel Taksidermi Burung (2010)
Kursus Asas Penyediaan Spesimen Herbarium (2011)
Kursus Penyediaan Spesimen Paku-pakis (2012)
Kursus Asas Taksidermi burung (2013)
 
Galeri Gambar
Penyelidikan Dan Koleksi

1. Unit Zoologi

Bil.

Penyelidikan

Tahun

1

Penyelidikan dan Pengumpulan Timun Laut di Sabah

2004

2

Penyelidikan & Pengumpulan Spesimen Hidupan Marin di Pulau Kapas, Pulau Perhentian dan Pulau Redang

2005

3

Penyelidikan & Pengumpulan Spesimen Hidupan Marin di Pulau Tioman

2006

4

Ekspedisi Saintifik Rimba Bukit Bauk, Terengganu

2006

5

Penyelidikan dan pengumpulan spesimen-spesimen ikan air tawar di Tasik Banding, Grik Perak

2007

6

Inventori Biodiversiti Rizab Hidupan Liar Sungkai, Perak

2007

7

Kajian Kepelbagaian Odonata di Hutan DiRaja Belum, Perak

2010

8

Kajian Awal Filum Arthropoda, Moluska Dan Annelida diHutan Pasoh, Negeri Sembilan

2010

9

Kajian Kepelbagaian serangga di pulau-pulau pantai barat Semenanjung Malaysia

2012

2. Unit Geologi

Bil.

Penyelidikan

Tahun

1

Penyelidikan & Pengumpulan Spesimen amber di Kapit, Sarawak

2005

2

Penyelidikan Geologi Langkawi

2006

3

Penyelidikan Morfologi Garam Bukit di Bario, Sarawak

2010

3. Unit Botani

Bil.

Penyelidikan

Tahun

1

Penyelidikan & Pengumpulan Spesimen Herba di Bukit Belata, Selangor

2005

2

Penyelidikan & Pengumpulan Spesimen Herba di Perlis

2006

3

Penyelidikan & Pengumpulan Spesimen tumbuhan herba di Taman Negara Endau-Rompin

2006

4

Penyelidikan Kepelbagaian Lumut Jati di Hutan Lipur Sungai Pandan, Pahang

2010

4. Unit Taksidermi

Bil.

Penyelidikan

Tahun

1

Kerja mengawet spesimen ikan yu gergaji

2003

2

Kerja mengawet spesimen harimau di Zoo Negara

2004

3

Kerja mengawet rangka gajah di Johor

2005

4

Kerja mengawet spesimen rusa

2006

5

Kerja mengawet rangka ikan paus Bryde di Labuan

2009

6

Kerja membaik pulih spesimen buaya dan harimau koleksi Istana Seri Menanti

2012

 
Waktu Operasi
9.00 pagi – 5.00 petang / Isnin- Ahad
 
Waktu Tutup
Tutup pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri & Hari Raya Aidiladha
 
Bayaran Masuk
DewasaTempatan: RM 2.00
Dewasa dan Kanak-kanak pelancong asing: RM 5.00
Kanak-kanak 12 tahun ke bawah, warga emas dan pelajar sekolah beruniform:  Percuma
 
Kemudahan
Surau, Tandas, Tempat letak kereta, Kerusi Roda, Tandas OKU dan Auditorium Mini.
 
Pengangkutan
Pengunjung boleh menggunakan pengangkutan awam dengan menaiki bas Nadi Putra bernombor laluan 500 dan 501 dari Putra Sentral dengan kadar bayaran RM 0.50 sahaja.
 
Peta Lokasi
Koordinat (GPS): 2.946127,101.725427
 

Permohonan Lawatan Berpandu Dan Aktiviti Pendidikan Muzium Alam Semula Jadi Putrajaya

Address: 
Muzium Alam Semula Jadi, Jabatan Muzium Malaysia, Jalan Diplomatik, Presint 15, 62000 Putrajaya.
Tel: 
603-88880193 (Galeri)
Fax: 
603-88902879
Email: 
pr.mas@jmm.gov.my

Kemas kini terakhir: 23 Januari 2017 - 3:04pm

Developed and designed by Hadafi Solution and Resources