Latihan
Program latihan kakitangan yang dilaksanakan secara terancang mampu memberi impak positif kepada organisasi terutamanya dari segi pembangunan modal insan bagi jangka masa panjang. Justeru, Unit Latihan yang ditubuhkan pada tahun 2001 adalah bertanggungjawab untuk melaksanakan pelbagai aktiviti latihan agar setiap kakitangan dilengkapi dengan sikap, kemahiran dan pengetahuan bersesuaian yang berteraskan pembangunan kompetensi dan pembelajaran berterusan. “ The purpose of learning is growth, and our minds, unlike our bodies, can continue growing as we continue to live”. Mortimer Adler Di antara aktiviti yang dijalankan adalah mengendalikan pelbagai program latihan berkaitan dengan bidang permuziuman, bahasa, teknologi maklumat, soft skills (komunikasi, etiket dll.), pengurusan dan program luar negara. Menerusi proses pembelajaran berterusan, adalah diharapkan agar setiap kakitangan akan memperoleh keseimbangan dalam pembentukan sahsiah dan nilai-nilai murni serta pengetahuan dan kemahiran yang bersifat profesional.
Latihan Industri Pelajar
JMM turut mengalu-alukan para pelajar dari institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta yang berminat untuk menjalani latihan industri/praktikal di jabatan ini. Menerusi program ini, para pelajar akan diberi pendedahan mengenai pelbagai aspek bidang permuziuman seperti penyelidikan, pameran, pengurusan koleksi, konservasi, dokumentasi dan pemasaran seterusnya memberi ruang kepada para pelajar untuk merasai pengalaman bekerja.






