Pameran Tembikar 1 Malaysia


Tarikh pameran: 26 Februari 2010 - 28 Mac 2010
Tempat: Muzium Negara, Kuala Lumpur.

Pengenalan

Asal usul nama seramik yang berkaitan dengan kerajaan Yunani menggambarkan ketamadunan manusia sejak berzaman hingga kini. Walaupun China mendominasikan gelaran ‘seramik’ khususnya di abad 14 hingga 19, namun secara universalnya ia telah dianggap lambang kepada bahan keperluan, status, perhubungan dagangan, keagamaan dan rekod catatan berkaitan kehidupan manusia sejak zaman pra-sejarah lagi. Berpaksikan kepada bahan asas iaitu tanah liat, ia berkembang melalui penggunaan istilah moden yang merangkumi bahan bukan logam dan bukan organik termasuk tiles, simen, kaca, batu-bata dan sebagainya.

Di negara ini, tembikar atau seramik yang diperbuat daripada tanah liat yang telah diproses termasuk melalui teknik pembuatan dan pembakaran turut menempatkan artifak unik ini sebagai pencatat sejarah dan budaya negara. Samada bentuk fizikalnya adalah cawan, mangkuk, pinggan, kendi, pasu dan sebagainya, ianya tetap menjadi pelengkap dalam perjalanan dan kitaran hidup masyarakat di negara ini. Dikenali dengan pelbagai nama, wujud perbezaan dari segi gelaran, bentuk, motif dan penggunaan yang disebabkan oleh pengaruh adat, budaya dan asimilasi daripada penduduk setempat.

Bermula di Kelantan hingga ke Sabah dan Sarawak, serta zaman prasejarah hingga kini, setiap kaum di negara ini mempunyai kaedah dan gaya apresiasi yang tersendiri. Dianggap bahan abadi dari ‘tanah kembali ke tanah’, roh dan fizikal
manusia dikaitkan dengan kemunculan fizikalnya yang diangggap sinonim dengan kehidupan masyarakat di sini. Pameran ini akan mencungkil aspek-aspek seperti tinggalan abadi, pengabdian dan pemujaan, magis dan spiritual, simbol dan legasi serta ketenangan jiwa pembuat dan pemakainya.

Istimewanya, seramik ini dianggap periwayat melalui perkongsian cerita dan pengadunan eratnya dengan perjalanan sejarah yang menghasilkan lambang identiti masyarakat yang unik dan kaya dengan pelbagai khazanah warisan. Kesemuanya menjadi bukti bagi semua keharmonian dan kekayaan kebudayaan yang dicapai secara bersama hingga ke hari ini.

Your rating: None Average: 3 (1 vote)