Pameran Mamalia Malaysia
- Beri ulasan anda
- telah diakses sebanyak 624 kali
Tarikh pameran: 1 Februari 2010 - 31 Julai 2010
Tempat: Muzium Alam Semulajadi, Putrajaya.
Hutan hujan tropika di Malaysia kaya dengan pelbagai jenis hidupan liar dan ia menjadi habitat kepada 280 spesies haiwan mamalia. Mamalia merupakan haiwan bertulang belakang yang mempunyai ciri-ciri berdarah panas, badan berbulu, mengandung dan melahirkan anak, mempunyai kelenjar peluh dan kelenjar susu bagi haiwan betina. Pameran ini akan menampilkan haiwan-haiwan mamalia yang terpilih dari bersaiz kecil hingga besar untuk diamati dan dipelajari oleh para pengunjung. Antara tarikan menarik adalah rangka ikan paus Bryde, iaitu spesies yang dijumpai terdampar di pantai Kampung Tanjung Aru, Wilayah Persekutuan Labuan pada 2 Februari 2005. Selain itu, haiwan yang terlindung dan diambang kepupusan seperti ”Pak Belang”, beruang, kambing gurun dan fosil hidup iaitu tapir turut dipamerkan.
Objektif
1) Memberikan pendedahan kepada pengunjung dengan lebih dekat mengenai beberapa spesies mamalia utama di Malaysia.
2) Memupuk kefahaman dan kesedaran akan kepentingan spesies mamalia yang terancam di Malaysia.
3) Mendidik masyarakat mencintai dan menghargai khazanah fauna negara yang diambang kepupusan.
Antara spesis yang dipamerkan...
Info Rangka Ikan Paus
Pada 2 Febuari 2005, seekor bangkai ikan paus telah dijumpai di pantai Kampung Tanjung Aru, Wilayah Persekutuan Labuan. Berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada penduduk tempatan, bangkai ikan paus jenis Fin Whale atau nama saintifiknya Balaenoptera edeni ini dipercayai mati kira-kira lebih seminggu kerana keadaannya yang berbau serta kulitnya telah pun tertanggal hingga menampakkan tulang. Justeru itu, Jabatan Muzium Malaysia Wilayah Labuan telah mengambil inisiatif untuk mengambil tulang-tulang ikan paus berkenaan untuk tujuan pendokumentasian. Tulang rangka atau skeleton ikan paus ini kemudiannya dipindahkan ke Muzium Alam Semulajadi, Putrajaya untuk dipamerkan kepada umum. Paus Bryde banyak didapati di perairan tropika dan subtropika. Ia mendiami kawasan pesisiran dan jarang ditemui berada di kawasan laut terbuka. Secara relatifnya, ia adalah lebih kecil jika dibandingkan spesies ikan paus lain dengan berat yang tidak melebihi 25 tan.
Tahukah Anda?
> Ikan Paus Biru (Blue whale) merupakan spesies hidupan mamalia terbesar di dunia.
> Ikan Paus Bryde ini dinamakan sempena nama Konsul Norway ke Afrika Selatan yang bernama Johan Bryde pada awal tahun 1990-an.
> Anak Ikan Paus Bryde yang baru dilahirkan adalah sepanjang 4 meter dan seberat 1,000 kilogram.

Tahukah Anda?
> Badak Sumatra merupakan satu-satunya spesies badak yang mempunyai badan yang berbulu.
> Badak Sumatra merupakan spesies badak yang terkecil di dunia.
> Sumbu badak terbentuk daripada keratin iaitu sejenis bahan yang sama seperti di dalam rambutnya.
> Badak Jawa merupakan badak yang paling sukar untuk di temui pada hari ini. Suatu masa dahulu ia boleh ditemui di tujuh buah negara. Namun pada hari ini ia hanya di temui di suatu kawasan terpencil di Indonesia.
> Badak tidak mempunyai penglihatan yang baik, ia akan menyerang apa sahaja yang kelihatan seakan-akan ancaman baginya dan seringkali tersasar pada batu dan pokok.
Tahukah Anda?
> Harimau Belang gemar mandi atau bermain dalam air.
> Daripada sembilan subspesies harimau moden, tiga di antaranya didapati telah pupus, iaitu Harimau Caspian (Panthera tigris virgata), Harimau Jawa (Panthera tigris sondaica) dan Harimau Bali (Panthera tigris balica).
> Harimau Malaya (Panthera tigris malayensis) merupakan subspesies harimau kedua terkecil, manakala Harimau Sumatera (Panthera tigris sumatrae) adalah yang terkecil dengan puratanya bersaiz 2.4 meter panjang dan seberat 120 kilogram.
> Harimau Siberia (Panthera tigris altaica) merupakan subspesies terbesar dengan panjang sehingga 3.3 meter dan seberat 300 kilogram.



