Pameran Alat Muzik Tradisional Masyarakat Malaysia
Lokasi pameran : Muzium Negara, Kuala Lumpur
Tarikh pameran : 1 Ogos hingga 10 September 2009
Penciptaan alat muzik diilhamkan melalui pemerhatian pada sumber alam dan menerusi eksploitasi bahan-bahan semulajadi seperti kulit haiwan, tumbuh-tumbuhan, tulang dan tanduk. Bermula hanya dengan bertepuk tangan, menghentakkan kaki, bersiul, mengetuk kayu dan sebagainya, alat muzik ini terus mengalami evolusi ke tahap yang lebih kompleks dan kompetetif. Pengaruh dan pertembungan budaya dari luar yang berlaku pada zaman-zaman perdagangan dan penjajahan banyak mempengaruhi alat muzik tempatan. Justeru lahirlah alat-alat muzik sinkretik yang terhasil dari kepandaian menggabung-jalin unsur-unsur luar, misalnya daripada Timur Tengah, India, China dan Eropah di negara ini dengan muzik ‘rakyat’ dan muzik ‘istana’ yang mendominasi aliran muzik pada zaman itu.
Alat Muzik Tradisional - Kesatuan Dalam Kepelbagaian
Berbilang asal usul telah melahirkan alat muzik tradisional yang pelbagai lantas melahirkan warisan seni muzik yang kaya dan kompleks. Meskipun bersempadankan budaya masing-masing, namun ia berjaya membentuk identiti tersendiri dan menonjolkan ciri-ciri persamaan yang dapat dikongsi bersama oleh pelbagai kaum di negara ini. Alat-alat muzik membranofon, kordofon, idiofon dan erofon dimainkan menerusi laras persembahan yang hampir serupa, justeru memberi jiwa dan aspirasi ke arah pembentukan bangsa Malaysia berteraskan 1 Malaysia.



